Usia 40 – permulaan kehidupan?

Oleh Nik Fauziah Nik Hussin.

Kita sering mendengar ungkapan ‘life begins at forty’ apabila usia mula memasuki ke angka 40. Malah bagi kaum lelaki ia menjadi gurauan di kalangan mereka untuk membuka ‘cawangan baru’ apabila usia mula menjejaki angka tersebut!

Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Allah telah SWT telah merakamkan perihal umur tersebut di dalam al-Quran. Pasti ada hikmah besar di sebalik usia tersebut sehinggakan ia disentuh sedemikian rupa. Apakah signifikan usia tersebut?

“Usia 40 ini sebenarnya sangat istimewa. Sebab itu Allah SWT telah menyebut mengenainya dalam surah Al-Ahqaf ayat 15 yang maksudnya: ‘Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai 40 tahun, ia berdoa, Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku temasuk orang-orang Muslim’,” demikian pandangan yang diutarakan oleh pendakwah terkenal Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood.

Jelas beliau lagi, pada usia tersebut, biasanya manusia sudah mencapai keinginannya dengan memperolehi banyak nikmat dari Allah, serta keluarga yang bahagia. Justeru sudah semestinya semua itu disyukuri dengan banyak berdoa serta bertaubat kepada Allah.

“Memang ada kebenarannya ungkapan life begins at forty yang biasa kita dengar itu, tetapi ia lebih membawa maksud yang sangat bermakna dalam kehidupan kita agar bersedia untuk menghadapi kehidupan yang abadi di alam baqa’ dan bukannya untuk enjoy. Usia tersebut yang harus kita gunakan supaya diri kita semakin dekat dengan Allah, bukannya semakin jauh.”

Mengapakan umur 40 tahun ini sangat istimewa serta mempunyai signifikan yang besar dalam hidup seseorang Muslim? Menjawab pertanyaan ini, Dato’ Siti Nor Bahyah menerangkan bahawa sesiapa yang dilanjutkan oleh Allah menginjak ke umur tersebut sebenarnya beroleh keistimewaan kerana dia telah menempuh umur yang matang.

“Umur tersebut membolehkannya untuk memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT. Hal ini juga disebut oleh Allah dalam surah al-Fathir ayat 37, maksudnya, ‘Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi ingatan?’ Menurut Ibnu Abbas, Hasan Al-Basri dan lain-lainnya, yang dimaksudkan dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut adalah ketika berumur 40 tahun. Manakala Ibnu Kathir pula menafsirkan bahawa, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun, hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.”

Justeru tambahnya, adalah beruntung orang yang dilanjutkan usianya sehingga 40 tahun kerana berpeluang untuk memperbaiki diri untuk mendapat keredhaan Allah.

Selain itu, keistimewaan yang tidak kurang pentingnya ialah usia 40 tahun juga adalah jaminan Allah meringankan perhitungan amalnya sekiranya seseorang itu bertaubat dan kembali kepada Allah..

Hal ini jelasnya disebut oleh Nabi Muhammad saw melalui sabda Baginda yang bermaksud, “Seorang hamba Muslim apabila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepada-NYA. Apabila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan apabila usianya mencapai 90 tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi.” (Hadis riwayat Ahmad).

Justeru bagaimanakah seharusnya nikmat usia 40 ini dilalui? Menjawab pertanyaan ini, Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah menjelaskan bahawa sewajarnya setiap individu yang diberi kesempatan oleh Allah menginjak usia 40 tahun mensyukuri nikmat usia tersebut dengan sedar diri bahawa dirinya adalah hamba Allah dan akan kembali kepada Allah jua apabila tiba masanya dan perlu membuat persiapan yang sewajarnya.

“Imam Shafie contohnya, apabila usia beliau menjangkau 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat agar dirinya sentiasa ingat bahawa beliau adalah musafir. Dan sewajarnya kita semua mengambil ingatan daripada pesanan Abdullah Ibnu Abbas yang menyebut,  ‘Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka’. Nauzubillahiminzaalik. Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat buat kita semua.”

*Peringkat umur Manusia

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 period, iaitu:

  1. Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh)
  2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun)
  3. Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun )
  4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati)

*Usia 40 – apa yang perlu dibuat?

Meneguhkan tujuan hidup

  1. Meningkatkan daya spiritual

  2. Menjadikan uban sebagai peringatan

  3. Memperbanyak bersyukur

  4. Menjaga makan dan tidur

  5. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0