Tutup Aurat vs Balut Aurat: Terlindungkah Maruah Wanita?

Wanita diciptakan untuk dijadikan perhiasan. Wanita dijadikan indah pada pandangan lelaki. Firman Allah bermaksud, “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak,  kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)”.  (Ali Imran: 14)

Sebab itu wanita diharuskan berhias dengan menggunakan barang-barang perhiasan yang diperbuat daripada emas dan memakai pakaian daripada sutera. Sedangkan emas dan sutera haram untuk lelaki. Namun demikian wanita diharamkan mendedahkan perhiasannya kecuali kepada orang-orang yang tertentu sahaja iaitu suami dan mahramnya.

Walau bagaimanapun ada di kalangan wanita yang sanggup mendedahkan tubuh badan dan perhiasannya kepada semua orang dengan anggapan bahawa kejelitaan dan kecantikan adalah untuk dipertonton.

Dalam kalangan lelaki pula walaupun tidak ramai yang mendedahkan aurat tetapi ada yang sanggup memandang dan memerhati apa sahaja yang melintas di hadapannya pada hal mereka dikehendaki menjaga pandangan berdasarkan surah al-Nur ayat 30.

Islam Melarang Muslimah Mendedahkan Aurat

Gaya dan tingkah laku wanita Islam atau disebut muslimah selepas ini, adalah berlainan daripada tingkah laku wanita bukan Islam dan kaum wanita pada zaman jahiliah. Muslimah adalah suci dan bermaruah, penuh hormat dan rendah diri. Sementara muslimah yang jahil tentang ajaran yang suci mungkin berasa sombong, bermegah-megah dan suka menarik perhatian lelaki seperti menunjuk-nunjuk dengan mendedahkan anggota mereka, berjalan atau bercakap dengan gaya yang mempesonakan sambil menunjukkan perhiasan dan memakai pakaian yang mencolok mata, menampakkan bentuk badan dan lain-lain.

Wanita menunjukkan kecantikan dan kejelitaan mereka untuk memikat dalam berbagai-bagai cara. Inilah yang terjadi pada wanita zaman dahulu atau pada zaman moden ini. Sedangkan Allah telah meminta muslimah dalam keluarga Nabi seperti isteri-isteri dan anak-anaknya tidak melakukan pendedahan aurat seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliah.

Firman-Nya yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu tetap di dalam rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang jahiliah…”. (al-Ahzab: 33).

Menurut Qatadah, wanita jahiliah berjalan dengan gaya yang ghairah dan mempesonakan. Cara mereka menarik perhatian adalah dengan meletakkan kain selendang di atas kepala tanpa mengikatnya sambil memain-mainkan rantai di lehernya, subang dan perhiasan-perhiasan yang lain dengan aksi yang menggoda. Mereka juga bergaul bebas dengan kaum lelaki. Oleh itu, muslimah hendaklah mempunyai keperibadian yang tersendiri. Mereka wajib menutup aurat.

Aurat Muslimah

Aurat pada bahasa ialah setiap benda yang dilindungi oleh manusia kerana malu apabila kelihatan. Makna yang lain adalah kecacatan, keaiban dan kelemahan (yang perlu dilindungi). Menurut syarak pula ialah semua anggota yang wajib ditutup atau haram dipandang. Makna kedua ialah suatu atau sebahagian anggota tubuh badan manusia yang malu apabila dilihat orang. Antara dua definisi tersebut definisi pertama adalah yang paling tepat.

Hukum menjaga aurat adalah wajib berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli. Firman Allah SWT, maksudnya, “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya”.  (Al-Nur : 31).

Yang biasa nampak darinya adalah muka dan tapak tangan, sesuai dengan hadis daripada Aisyah r.anha meriwayatkan, “Bahawa Asma’ binti Abu Bakar (ipar Rasulullah saw) pernah masuk ke rumah Rasulullah saw dengan berpakaian nipis. Baginda memalingkan mukanya ke arah lain dan bersabda: Wahai Asma’! Sesungguhnya, wanita apabila sudah datang haidnya  (sudah baligh) tidak patut menampakkan badannya kecuali ini dan ini; sambil baginda menunjukkan muka dan kedua belah tapak tangannya”.  (Riwayat Abu Daud)

Dalil daripada lojik akal pula adalah keperluan manusia kepada menampakkan wajah ketika berjual beli dan menampakkan kedua tapak tangan ketika mengambil dan menerima contohnya, maka kerana itu  tidak  dikira aurat.

Penentuan aurat wanita dalam Islam telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh ulama. Di sini hanya disebutkan secara ringkas mengenainya.

Aurat wanita dengan wanita.

i) Aurat muslimah dengan muslimah adalah antara pusat dan lutut, tetapi jika bimbangkan fitnah, maka seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.

ii) Aurat muslimah dengan wanita bukan Islam adalah semua anggota tubuh badan kecuali yang kelihatan apabila melaksanakan tugas rumah tangga, tetapi jika bimbangkan fitnah, maka seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.

Aurat wanita dengan lelaki.

i) Aurat muslimah dengan lelaki bukan mahram adalah seluruh tubuh muslimah kecuali muka dan tapak tangan, tetapi jika bimbangkan fitnah, maka seluruh tubuhnya adalah aurat.

ii) Aurat muslimah dengan lelaki yang mahram adalah antara pusat dan lutut dengan syarat aman daripada fitnah.

iii) Aurat muslimah dengan kanak-kanak lelaki, harus menampakkan perhiasannya dengan syarat kanak-kanak lelaki belum mengalami keseronokan.

Berpakaian Selaras Dengan Ketetapan Syarak

Pakaian yang dipakai oleh muslimah hendaklah selaras dengan apa yang telah ditetapkan oleh hukum syarak seperti berikut:

i) Pakaiannya hendaklah menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tangan.

ii) Pakaian yang dipakai itu janganlah dibuat daripada kain yang jarang, yang boleh membayangkan susuk badan dari sebelah dalam pakaian tersebut.

Sabda Nabi saw, maksudnya, “Antara penghuni neraka ialah wanita yang memakai baju tetapi masih bertelanjang, menggoda dan digodai. Mereka ini tidak akan masuk syurga malah bau syurga pun tidak akan sampai kepada mereka”.  

‘Memakai baju tetapi masih bertelanjang’  bermaksud pakaian jarang yang dipakai tidak melindungi aurat mereka. Suatu masa dahulu, beberapa orang wanita dari Bani Tamim telah datang menziarahi Aisyah r.anha dan dia telah berkata kepada mereka, “Jika kamu orang yang beriman, maka pakaian semacam  ini tidak layak dipakai oleh wanita yang beriman”. Pada suatu ketika yang lain pula apabila seorang pengantin perempuan memakai selendang jarang telah datang menemuinya, dia berkata, “Seorang wanita yang berpakaian seperti ini dia tidak percaya kepada surah al-Nur dan surah al-Ahzab yang mengandungi banyak pengajaran berhubung dengan kesucian dan kesopanan hubungan lelaki dan wanita serta tentang jenis pakaian mereka”.

iii) Pakaiannya tidak boleh terlalu ketat hingga menunjukkan bahagian badan terutama sekali bahagian badannya yang montok seperti bahagian dada, pinggang, pinggul, peha dan sebagainya walaupun pakaian yang dipakainya tidak jarang.

iv) Tidak boleh memakai pakaian yang dibuat khas untuk lelaki seperti seluar yang sendat.

v) Tidak boleh meniru pakaian wanita bukan Islam kerana Islam tidak menyukai penganutnya yang cuba menyamai gaya orang bukan Islam.

Umat Islam hendaklah mempunyai ciri-cirinya tersendiri dari segi penampilan diri, kepercayaan dan sikap. Sabda Nabi saw bermaksud, “Sesiapa yang meniru sesuatu bangsa lain, maka ia (tergolong dalam) bangsa itu”.  

Salah Faham Tentang Aurat Muslimah

Pada masa ini, banyak terjadi salah faham akibat ceteknya ilmu pengetahuan dalam masalah aurat muslimah. Disempitkan konsep menutup aurat kepada sehelai kain semata-mata, sedangkan konsep menutup aurat itu sangat luas.

Diperdayakan oleh bisikan syaitan, jin dan manusia bahawa menutup aurat itu adalah tudung semata-mata. Jika sudah memakai tudung, bermakna seseorang wanita sudah melaksanakan perintah menutup aurat, maka perkara lain tidak dipedulikan lagi. Akibatnya, tidak hairanlah berlaku  banyak maksiat yang mana pelakunya adalah muslimah yang bertudung, tanpa melihat jenis, saiz dan warna tudungnya.

Di sini disenaraikan beberapa jenis salah faham tersebut yang menjadi pemandangan biasa yang dapat disaksikan  di tempat awam atau kenderaan awam:

1. Memakai tudung dengan berbaju kebaya yang kainnya terbelah dan sendat.

2. Memakai tudung dengan berbaju T atau kemeja lengan pendek.

3. Memakai tudung dengan mendedahkan rambut di bahagian hadapan dan hujungnya.

4. Memakai tudung dengan tudung yang singkat atas paras dada menampakkan bentuk buah dada.

5. Memakai tudung dengan kain tudungnya yang nipis menembusi rambut, leher, tengkuk dan dadanya.

6. Memakai seluar yang ketat dan menampakkan bentuk pinggang, pinggul dan peha.

7. Memakai kemeja yang singkat dan ketat yang tidak menutup bahagian kemaluan hadapan dan belakang.

8. Berbaju kurung yang sangat sendat menampakkan bentuk badan dan warna-warni yang menarik perhatian.

9. Memakai skirt yang singkat menampakkan betis.

10. Memakai pakaian yang menutup aurat dengan lengkap tetapi menaiki motor mendedahkan betis sepanjang jalan.

11. Memakai pakaian yang menutup aurat dengan lengkap tetapi hanya ketika ke pejabat atau di tempat kerja sahaja, tidak pada tempat yang lain.

Pemandangan-pemandangan yang disebutkan di atas menunjukkan pelakunya tidak memahami konsep menutup aurat  yang diwajibkan ke atasnya. Sebenarnya wanita yang berpakaian seperti itu telah merugikan diri mereka sendiri. Jika wanita boleh diibaratkan seperti makanan, sudah tentu setiap orang akan memilih makanan yang ditutup atau dibungkus berbanding makanan yang terdedah kerana berisiko didatangi lalat  atau lipas yang boleh mengundang penyakit.

Oleh itu, duhai muslimah! Fahamilah, seorang muslimah hanya layak memakai pakaian yang longgar, tidak tembus pandang namun tetap cantik, bersih dan rapi zahirnya. Sedarilah, bahawa tujuan Islam mewajibkan muslimah berpakaian adalah untuk menutup aurat mereka,  sebagai penghias serta penyeri diri dan menambahkan ketakwaan pemakainya daripada melakukan kejahatan yang boleh mencemarkan imannya. Hakikatnya, kemuliaan dan ketinggian darjat seorang muslimah dapat dinilai daripada pakaian yang dipakai.

~Ditulis oleh Dr. Rosnani Hassan. Penulis merupakan pemegang, ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang di YPTIK, Nilam Puri Kelantan, Sarjana Fiqh & Usul di Univ. Azhar, Mesir dan PhD Undang-undang Keluarga Islam di Univ. Malaya K. Lumpur.~

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0