Musafir tanpa Mahram… Bolehkah?

Oleh Nik Fauziah bt Nik Hussin.
Foto Siti Nur Amirah Fauzi.

Firman Allah SWT dalam surah Al Mulk (67: 15) yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya dan hanya kepada-Nya kamu kembali setelah dibangkitkan.”

Daripada dalil di atas, adalah difahami bahawa umat Islam digalakkan untuk bermusafir supaya mereka dapat melihat keagungan Allah serta mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, agar mereka lebih menjadi hamba yang bersyukur. Dewasa ini, seiring perubahan zaman dan kemudahan pengangkutan, ramai yang telah berpeluang keluar bermusafir, sama ada bersuka-suka ataupun atas urusan kerja.

Wanita juga tidak ketinggalan, sama ada bermusafir sendirian, berkumpulan ataupun ditemani keluarga. Namun persoalan yang timbul adalah setakat mana kelonggaran isu bermusafir tanpa ditemani mahram ini dibolehkan dalam Islam. Apakah syarat tersebut dan bagaimana pendekatan yang harus digunakan?

Untuk mengupas persoalan ini, krew ERA MUSLIMAH  telah berpeluang menemubual Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad AlBakri, Mufti Wilayah Persekutuan, untuk berkongsi pandangan. 

“Musafir ialah seseorang keluar dari tempat tinggal atau kampung halaman ke suatu destinasi sehingga menyebabkan berlaku perubahan yang boleh dilihat pada fizikal seseorang. Perubahan yang dimaksudkan ialah sewaktu memulakan safar, dia berpakaian kemas tetapi apabila sampai ke destinasi, pakaian sudah dalam keadaan serabai disebabkan melalui kesukaran dalam perjalanan, sementelah pada zaman dahulu,” demikian ujarnya memulakan bicara.

Tambahnya, hal ini sesuai dengan penjelasan Nabi saw dalam hadith baginda yang bermaksud, “bermusafir adalah sejuzuk daripada keseksaan.”

“Makna keseksaan ini bukan sahaja kesukaran menempuh perjalanan tetapi terpaksa juga menanggung penderitaan batin dan jiwa kerana berpisah dengan orang tersayang,  tempat dan sebagainya. Ini perkara lumrah yang berlaku, sementelahan jika bekalan yang dibawa tidak cukup atau tempat yang dituju tidak diketahui hala tuju yang sebenarnya, sehingga menghalang rasa seronok seseorang itu ketika dia bermusafir.”

Walau bagaimanapun, bermusafir ini banyak kelebihannya. Kata pujangga Arab, “hendaklah kamu bermusafir kerana dengan bermusafir itu kamu akan bertemu dengan rakan  yang telah kamu berpisah (maksudnya bertemu pengganti).”

Malah ujarnya, ulama juga telah menyebut mengenai kelebihan musafir kerana ia dapat meraih rezeki sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surah al-Mulk ayat 15 di awal tadi

Musafir juga membolehkan kita mendapat banyak iktibar sebagaimana firman Allah dalam surah An-Naml ayat 69,  “Berjalanlah kamu (di muka) bumi, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.”

“Kita biasa mendengar kisah-kisah kaum Luth, kaum ‘Aad, kaum Thamud dan ini dapat disingkap serta memberikan iktibar kepada kita,” ujar beliau.

Selain itu nikmat musafir juga dapat menambahkan pengalaman dalam hidup seseorang. Orang yang bermusafir akan terbiasa dengan sifat berlapang dada, dapat maklumat baru, malah persepsi mereka juga berbeza. Ini kerana mereka berpeluang bertemu dengan masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan negara yang berbeza, sehingga menjadikan mereka lebih matang.

Wanita dan Musafir

Apabila kita menyebut wanita, sifat asal mereka adalah berada di dalam rumah. Firman Allah SWT, “Dan hendaklah kamu (wanita) tetap tinggal di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu. Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai ahlulbait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Al Ahzab: 33)

Sesuai dengan fitrah kejadian wanita, mereka lebih selesa dan lebih tenang berada di rumah, apatah lagi jika berada bersama suami dan anak-anak. Bagaimanapun timbul persoalan bila mana wanita terpaksa bermusafir.

“Asal hukum wanita bermusafir adalah HARUS sebagaimana lelaki, jika bersama dengan suami atau mahramnya. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah saw yang bermaksud, “Tidak boleh (haram) wanita musafir kecuali bersamanya mahram.” –  Hadis Sahih, Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas.

Ini menunjukkan bahawa musafir para wanita perlu ditemani oleh suami atau mahram mereka, supaya wanita terjamin dan terjaga keaiban serta kehormatan diri mereka. Jika berlaku apa-apa, mereka tidak akan berasa panik, susah dan gawat serta berdukacita kerana dibantu oleh mahramnya.

“Tetapi dalam riwayat yang lain iaitu hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari A’di bin Hatim, Rasullullah saw berkata tentang kegemilangan masa depan Islam, “Telah dekat waktunya di mana seorang wanita dari Harah di Iraq akan menuju Kaabah dengan tidak disertai suaminya. Dia tidak takut kepada sesiapapun kecuali kepada Allah…”

Berdasarkan nas ini, sebahagian ulama berpendapat wanita boleh bermusafir seorang diri. Walau bagaimanapun dalam isu ini, terdapat pendekatan yang diambil kira iaitu jika berlaku keperluan seperti untuk menunaikan haji dan wanita tersebut memang tiada mahram maka pada waktu itu dalam mazhab Syafie, mereka boleh bermusafir tanpa ditemani mahram dengan syarat ada wanita-wanita thiqah bersama.

Syarat musafir tanpa mahram

Menghurai lanjut, jelasnya, musafir boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan. Pertama musafir wajib, contohnya belajar ataupun mengerjakan ibadat haji.  Keadaan ini memerlukan wanita untuk keluar dari tempat tinggal mereka.

“Kita akan tengok apakah mungkin dia pergi tanpa mahram dalam keadaan selamat. Jika ya, maka dibolehkan dia pergi bermusafir tanpa mahramnya. Tapi kalau mahramnya mampu ikut bersama, maka aulanya dia pergi bersama keluarga atau mahramnya.”

Namun jika keadaan tempat yang ingin dikunjungi tersebut suasaananya tidak selamat dan boleh membawa fitnah serta perkara yang tidak baik, maka di situ haram bagi wanita bersendirian.

Situasi seterusnya, jika ada pilihan untuk mengelakkan permusafiran jarak jauh kepada jarak yang lebih dekat (contohnya belajar di dalam negara) yang memungkinkan mahram menemani atau senang berjumpa.

“Maka dalam hal ini, saya lebih mengesyorkan agar keluar daripada masalah khilaf dengan memilih belajar di dalam negara, supaya mengelakkan perlanggaran nas seperti yang dinyatakan.”

Walau bagaimanapun Islam meraikan keadaan-keadaan dan suasana masa kini. Wanita kini berbeza dengan wanita zaman dahulu sesuai dengan perubahan zaman. Maka timbul feqah-feqah baru berkenaan wanita seperti bekerja di luar rumah atau dari persekitaran kebiasaan. Umpamanya terpaksa menghadiri seminar dan sebagainya yang berkaitan dengan kerja. Walaupun dibolehkan dalam situasi ini, tetapi tetap ada had atau batasan supaya wanita tetap terjaga kehormatannya.

Bekerja di luar negara

Dewasa ini, kita didedahkan dengan fenomena wanita yang bekerja di luar negara, sehingga terpaksa berjauhan daripada suami dan keluarga. Dalam hal ini beliau berpendapat lebih aula agar wanita tidak menerima tawaran pekerjaan tersebut.

“Hal ini juga sama untuk para lelaki. Apabila wanita dan lelaki sudah mendirikan rumah tangga, pasangan suami isteri tidak digalakkan berpisah begitu lama. Sebab itu Saidina Ummar Ibn Khattab ketika menghantar tentera Islam ke medan perang, beliau mengambil kira dan mendengar runtunan hati dan perasaan wanita yang terpaksa berpisah dengan suami. Diceritakan bahawa Saidina Ummar bertanya kepada anaknya iaitu Hafsah, berapa lama seorang wanita boleh bersabar berjauhan daripada suami mereka. Lalu dijawab oleh anakanda beliau, iaitu selama 4 bulan sahaja. Maka Saidina Ummar telah membuat keputusan bahawa tentera Islam yang pergi berjuang tidak boleh berpergian melebihi 4 bulan.”

Di sini kita lihat bahawa Islam telah menetapkan satu piawaian mengenai isu ini, yang mengambil kira keperluan batiniah para lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun jika memilih untuk bekerja di luar negara, maka lelaki atau wanita perlu membawa bersama pasangan masing-masing.

“Ini kerana jika suami isteri berjauhan maka syaitan mudah memainkan peranannya memporak-perandakan hubungan serta menjerumuskan mereka ke dalam maksiat. Malah terdapat statistik yang menunjukkan antara faktor penyebab kepada masalah perceraian adalah isu pasangan yang tinggal berjauhan antara satu sama lain.”

Ekspedisi berkumpulan

Beliau juga turut menegur kebiasaan yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini terutama anak muda yang suka mengadakan ekspedisi sama ada mendaki gunung atau mengembara ke luar negara secara berkumpulan tanpa ditemani mahram.

“Dalam hal ini saya melihat bahawa sedikit sangat maslahat dan kebaikannya berbanding jika pergi dalam misi bantuan kemanusiaan. Sebagai contoh misi membantu mangsa-mangsa perang atau bencana alam di kem pelarian atau penempatan sementara, yang biasanya ada kanak-kanak atau wanita yang memerlukan bantuan. Maka dalam kes ini tentunya tenaga wanita diperlukan untuk membantu wanita dan kanak-kanak. Namun jika hanya ekspedisi biasa maka lebih baik pastikan ada mahram menemani ataupun gantikan dengan aktiviti yang lebih baik.”

Sebagai kesimpulannya, wanita perlu sedar bahawa mereka adalah makhluk Allah yang amat disukai ramai. Tidak kira sama ada mereka muda ataupun sudah berumur, tidak kira sama ada mereka cantik atau sebaliknya kerana kecantikan itu sangat subjektif.

Disebabkan hal inilah maka Islam amat menitik beratkan penjagaan terhadap wanita agar mereka selamat. Larangan yang dikenakan bukan bertujuan memberati wanita tetapi menutup lubang-lubang kejahatan agar wanita terpelihara diri dan maruahnya daripada diganggu oleh mereka yang berniat jahat dan sakit jiwanya.

 

 

 

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0