Muflis di usia muda – Awas!

Oleh Siti Nur Amirah Fauzi

Graduan yang baru memulakan kerjaya sering terperangkap dengan hutang sama ada bagi pendidikan, kereta, kad kredit, pembiayaan rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya. Selain itu, penggunaan kad kredit sering kali menjadi beban apabila disalah guna sehingga ada yang diisytiharkan muflis.

Menurut  Hjh. Rohani Datuk Hj. Mohd Shahir, Pengasas dan Perunding Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd, pelajar-pelajar yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi (IPT) sudah mula berhutang. Apabila ditubuhkan tabung dan institusi pinjaman terutama tabung pinjaman khas pendidikan untuk anak-anak yang ingin menyambung pelajaran tetapi tidak mempunyai tabungan pendidikan, mereka mula mengambil  pinjaman. Pada peringkat ini, mereka sudah mula berhutang walaupun tidak mempunyai pendapatan.

“Apabila mereka mengambil pinjaman, mereka tidak fikir pinjaman ini adalah bebanan hutang setelah mereka keluar universiti nanti. Mereka menganggap ini adalah duit belanja mereka, akhirnya terjadilah budaya berbelanja berlebihan sewaktu di alam pembelanjaran lagi.”

Tambah beliau, pada usia yang masih muda lagi, pelajar-pelajar ini sudah terbiasa mendapat wang yang banyak, sehingga mampu untuk hidup mewah.  Akan tetapi apabila tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, sudah pasti hutang semakin bertambah seiring dengan keperluan semasa.

“Pada peringkat ini, mereka mula membuat pinjaman peribadi, maka bermulanya budaya berhutang.”

Jelasnya, budaya berbelanja berlebihan telah bermula dari zaman pengajian lagi, gaya hidup mewah sudah dipratikkan seperti melepak di restoran-restoran mewah, memakai pakaian yang berjenama, kemudian apabila bekerja, keinginan gaya hidup semakin bertambah mewah.  Demi mengekalkan gaya hidup mewah, mereka perlu berhutang.

“Hal sebegini sering berlaku apabila kehendak melebihi keperluan. Mereka terdesak  untuk mengekalkan gaya hidup mewah dan seterusnya akan terdorong untuk mengambil pinjaman peribadi. Tambahan pula, kebanyakan mereka layak untuk mengambil pinjaman peribadi RM50 000 atau RM60 000. Mereka menganggp bahawa mereka bukan sahaja mendapat pendapatan mewah tetapi mereka menggunakan duit tersebut seperti mendapat durian runtuh, ditambah pula tempoh pembayaran sehingga 10 ke 20 tahun. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup berhutang selama 15 ke 20 tahun.”

Gaya hidup yang semakin mewah akan menyebabkan tahap untuk memufliskan peminjam-peminjamsemakin tinggi. Walaupun kerajaan telah meningkatkan kadar muflis sehingga RM30,000, keadaan inilah yang menyebabkan ramai mereka yang berumur bawah 30 tahun diisytiharkan muflis.

Ditanya mengenai penggunaan kad kredit secara berleluasa yang akan membawa kepada muflis, beliau berpendapat, kad kredit mengajar kita untuk berhutang lebih.

“Sebagai contoh, apabila kita ke pusat beli belah, kebiasaannya,pemegang kad kredit akan diberikan diskaun istimewa”.

Tambah beliau, statistik menunjukkan, 1.9 juta pemegang kad kredit adalah mereka yang bergaji di bawah RM3000 dan kebiasaannya, orang-orang sebegini tidak tahu menguruskan kewangan mereka.

“Setiap bulan mereka hanya akan bayar minima 5% dan dalam tidak sedar mereka dikenakan interest 18% setahun dan ini merupakan kos yang amat tinggi.”

Menyentuh mengenai kemudahan pinjaman perumahan yang disediakan, beliau berpendapat bahawa semua produk kewangan di luar sana adalah pilihan untuk pengguna. Ia berbalik kepada sikap pengguna  itu sendiri untuk menilai dan memilih yang terbaik mengikut keperluan diri.

“Jika memerlukan rumah, kita perlu memastikan 20% wang pendahuluan adalah tunai milik kita. Sebaliknya, kebanyakan masyarakat tidak ambil peduli tentang kemampuan kewangan sehinggakan mereka berani membuat pinjaman rumah 100%. Akibatnya pinjaman tidak dapat dibayar malah lebih malang lagi, mereka menambah hutang dengan membuat pinjaman peribadi.”

Justeru itu, ilmu pengurusan kewangan harus dipelajari oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya merasakan ilmu pengurusan kewangan sangat penting akan tetapi sikap orang kita yang tidak mahu mencari ilmu akan memakan diri sendiri. Ramai orang tidak mahu berbelanja untuk ilmu, berapa ramai antara kita membaca buku-buku dan  majalah kewangan?”

Apapun menurutnya, perkara utama ialah kembali kepada asas ilmu pengurusan kewangan iaitu menabung. Justeru, sikap menabung harus dimulakan ketika masih kecil iaitu ibu bapa  berperanan mendidik anak-anak berjimat cermat dan hanya berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan berdasarkan kehendak semata-mata.

Usia muda adalah waktu yang sesuai untuk mencorak masa tua. Budaya berbelanja sekarang akan menentukan keadaan hidup di masa tua. Biarpun lazim orang mengatakan simpanan hari tua adalah untuk orang tua, namun pada hakikatnya, simpanan hari tua adalah untuk orang muda merancang supaya apabila mereka tua, ada simpanan tersedia.

“Pesanan saya  kepada anak-anak muda, anjak paradigma anda. Apabila anda mula bekerja, tolong fikir simpanan hari tua. Apabila anda mendapat gaji, fikir keadaan hari tua anda. Apabila minda anda telah berfikir ke hadapan, tidak mustahil pada usia anda 50 tahun anda mempunyai simpanan. Asingkan sebahagian duit gaji untuk pelaburan, Contohnya gaji saya RM1800 tetapi saya hanya akan berbelanja sebanyak RM1400 sahaja, lebihan RM400 itu saya akan simpan untuk hari tua saya. Itu satu kuasa minda yang luar biasa.”

Beliau tidak menafikan, persepsi masyarakat turut mempengaruhi budaya berbelanja seseorang. Masyarakat kita hari ini sering menilai kejayaan seseorang berdasarkan barangan yang dibelanjkan oleh orang-orang tertentu.

“Hal ini salah sama sekali. Islam menilai kekayaan seseorang berdasarkan sebanyak mana mereka boleh memberi kepada orang lain. Itulah nilai kekayaan yang sebenar, bukan apa yang kita miliki tetapi  apa yang kita beri.”

Jelasnya, dalam perancangan kewangan Islam, konsep yang diketengahkan adalah Allah merupakan Pemilik harta yang mutlak dan manusia sebagai ‘pemegang amanah’. Sebagai pemegang amanah, kita tidak seharusnya membelanjakan harta dengan sewenang-wenangnya.

“Mulakan budaya menabung dan mulakan budaya membawa bekal. Jangan terperangkap dengan budaya hidup mewah. Pepatah Melayu ‘biar papa asal bergaya’ sudah tidak releven digunakan lagi.”

Tips untuk mencapai bebas hutang:

1. Catat butiran hutang

2. Jika semua ada tunggakan, telefonlah bank dan merayu penurunan kadar/faedah yang dikenakan.

3. Tulis cadangan bayaran balik yang anda mampu kepada pihak bank

4. Rayu supaya bank ‘waive’ atau ‘ketepikan’ caj denda bayaran lewat sejak anda berada dalam tunggakan – nyatakan sebab.

5. Mula bayar bulanan walaupun sedikit dan jelaskan hutang yang paling kecil dahulu.

6. Jangan teruskan tabiat boros dan HENTIKAN pembelian secara kredit

7. Solat taubat dan berdoa supaya Allah melancarkan pembayaran hutang anda.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0