Hutang – Mudah tetapi bawa padah!

Anda pernah dengar orang menyebut perkataan ‘Zikir Al-Ma’thurat’? Masakan tidak! Bukan setakat mendengarnya, malah anda sendiri tentu sudah biasa membacanya, bukan? Ya, himpunan wirid dan doa itu sememangnya semakin menjadi kelaziman dalam masyarakat kita kini. Ia dibaca setiap permulaan dan penutup siang, khususnya selepas solat Subuh dan Asar.

Malah tidak mustahil ada antara kita yang mengetahui lebih lanjut tentang zikir al-Ma’thurat. Ia merupakan hasil usaha pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir yang juga seorang ulama tersohor, Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna.

Penyusunannya yang mengandungi beberapa ayat al-Quran terpilih, doa-doa mustajab, tasbih, tahmid, takbir dan seumpamanya sengaja disusun sedemikian rupa bagi menghasilkan kumpulan zikir dan doa harian terbaik untuk diamalkan.

Namun, rasanya tidak begitu ramai yang perasan bahawa setiap satu butiran yang dimuatkan di dalamnya, sama ada ayat al-Quran, doa mahu pun wirid itu mewakili hasrat tertentu atau menyimpan fadhilat-fadhilat tersendiri. Apatah lagi sekiranya pembacanya hanya melafazkan apa yang tercatat, tanpa mengambil usaha mendalami maksud butiran-butiran tersebut, sudah tentu tidak mampu menyelami maksud sebenar ia disenaraikan dalam zikir tersebut.

Contohnya, ada penghulu istighfar (butiran 34), ada doa menolak mudarat (28), doa terhindar dari kemiskinan (33), doa berlindung dari kejahatan makhluk (30) dan berbagai lagi. Turut disenaraikan dalam zikir tersebut ialah doa terhindar dari cengkaman hutang (butiran 31).

Sepertimana disebutkan tadi, setiap butiran dalam zikir al-Ma’thurat adalah sengaja disusun sedemikian rupa oleh Asy-Syahid Hassan al-Banna bagi menghasilkan himpunan zikir dan doa harian terbaik. Dalam ertikata lain, melalui ilmunya yang tinggi dalam agama, beliau telah mengenalpasti bahawa salah satu di antara perkara utama yang perlu dipohon oleh seorang Islam kepada Allah SWT saban hari ialah agar terlepas dari bencana hutang.

Pilihan beliau itu amat tepat sekiranya kita membentangkannya kepada perkembangan masyarakat dewasa ini. Di sana-sini orang terlibat dengan hutang. Sehingga boleh dikatakan tidak ada satu keluarga yang menyertai kehidupan moden yang tidak menanggung hutang.

Mendirikan rumah atau memulakan perniagaan dengan biayai wang ‘pinjaman’, sebenarnya hanyalah nama lain bagi berhutang. Membeli kereta, perabot rumah atau alatan elektrik secara ‘bayaran ansuran’, pada hakikatnya adalah juga satu kategori hutang. Bahkan, menggunakan berbagai utiliti seharian, seumpama telefon, elektrik dan air yang menunggu bil bulanan untuk dibayar penggunaannya juga salah satu bentuk hutang.

Keadaan itu memperlihatkan bahawa kehidupan kini menyukarkan seseorang terlepas daripada budaya berhutang. Itu belum lagi disebutkan mengenai penggunaan kad kredit atau overdraft bank yang secara jelas memberikan kelebihan kepada pemilik ‘keistimewaan’ itu berbelanja lebih dahulu daripada memikirkan bagaimana membayarnya.

Hasilnya, berhutang tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang mengaibkan. Ia sudah dianggap suatu keperluan untuk memenuhi kepentingan hidup, bukan lagi tindakan terpaksa oleh orang yang terdesak.

Sebaliknya, dalam keadaan tertentu, seseorang atau sesebuah keluarga yang memilih untuk kekal mendiami rumah asal yang sederhana atau memandu kenderaan separuh umur, semata-mata kerana mahu mengelak daripada membuat ‘hutang’ dengan institusi kewangan, boleh saja dianggap melepaskan peluang keemasan mengecapi kehidupan lebih bergaya. Lebih teruk lagi, mereka ini dipandang sinis khalayak terbanyak sebagai ‘tidak mengikuti perkembangan zaman’ yang berlumba-lumba melonggokkan hutang.

Masyarakat kita sudah dibudayakan dengan kehidupan berhutang. Malah, syarikat-syarikat berkepentingan sengaja mempromosi produk masing-masing yang sekaligus menggalakkan kita berhutang. Ada yang menyediakan ‘skim bayaran mudah’ untuk berbagai barangan. Ada yang menawarkan ‘kadar faedah terendah’ untuk beberapa bentuk pinjaman kewangan, dan berbagai lagi slogan yang direkacipta khusus untuk dilihat menarik oleh masyarakat selaku pengguna.

Tidak salah bagi mana-mana pihak untuk memudahkan orang berhutang dan tidak salah juga untuk berhutang. Tetapi sikap mengambil mudah atau tidak mengukur kemampuan untuk membayar hutang itu sebenarnya yang kerap mengundang padah.

Sebab itu kita dapati di sebalik keghairahan pihak pemiutang menabur segala kemudahan itu, ia sebenarnya turut membawa kesan negatif kepada masyarakat. Kita sering mendengar orang berkata, ‘berhutang memang mudah, tapi tidak semudah itu melunaskannya’. Itulah hakikat yang setakat ini sukar dinafikan.

Di masa sama, kita juga sering diperdengarkan dengan kata-kata klise, ‘biar papa, asal bergaya’. Walaupun ungkapan itu kerap dijenakakan orang, ia sebenarnya membawa konotasi amat negatif berhubung tabiat sebilangan anggota masyarakat kita yang gemar berhabis harta semata-mata untuk kelihatan bergaya. Apatah lagi dalam konteks kini, klise itu semacam benar-benar menjadi realiti.

Sudah ramai yang jatuh papa akibat gagal membayar hutang. Mereka tertipu oleh keinginan sendiri untuk hidup bergaya dan setanding dengan orang lain, tanpa menilai keupayaan kewangan diri untuk memenuhi keghairahan tersebut.

Sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris pada September 2011 lalu melaporkan, “on average, 41 declared bankrupt every day, mostly due to credit card debts” (secara purata, 41 orang diisytiharkan muflis setiap hari, kebanyakannya kerana hutang kad kredit).

Laporan itu memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj. Pihaknya juga mendapati kebanyakan individu yang diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit itu berusia di bawah 40 tahun.

Padah kegagalan membayar hutang tidak berakhir dengan pengisytiharan muflisnya seseorang. Ia bahkan membawa berbagai kesan sosial dan ekonomi, termasuk terhadap keluarga indidivu terbabit. Seorang muflis terlucut berbagai hak dan keistimewaan, termasuk memegang jawatan dalam apa-apa persatuan atau organisasi, memiliki sebarang harta selain sekadar untuk keperluan asas, jauh sekali untuk memohon sebarang pinjaman kewangan daripada mana-mana pihak.

Selain keaiban dan pemencilan di sisi masyarakat, ada juga individu terbabit yang mengalami tekanan perasaan sehingga sukar mengatur hidup seterusnya. Apa yang dilaporkan sebuah tabloid harian pada 15 September 2011 mungkin boleh dijadikan contoh terlampau mengenai padah muflis. Seorang pemuda yang gagal dalam perniagaannya di Semenanjung dan diisytiharkan muflis kembali ke pangkuan keluarganya di Sandakan.

Beliau cuba meneruskan hidup dengan menanam sayur. Lalu bagi menambah modal perniagaannya, beliau berhasrat menjual rumah didiami ibu bapanya. Hasratnya itu bagaimanapun tidak dipersetujui mereka, sehingga berlaku pertengkaran. Lelaki itu dilaporkan naik angin lalu menikam kedua ibu bapanya sehingga mati. Kakaknya yang cuba menghalang turut cedera parah terkena tikaman pemuda itu.

Kes itu mungkin dianggap terpencil dan tidak mewakili kesemua kes orang yang menghadapi masalah kewangan serius. Apatah lagi indidivu dalam kes tersebut seorang bukan Islam yang kita sifatkan tiada pertimbangan hidayah.

Namun, secara umumnya kesan negatif daripada kegagalan mengurus hidup tetap terpapar menerusi berbagai fenomena sosial lain. Paling tidak pun, dapat kita rasionalkan betapa khalayak yang bergelumang dengan hutang tentu sekali sukar memenuhi keperluaan kewangan keluarga. Apatah lagi untuk diharapkan mereka menyumbang bantuan kewangan kepada kedua ibu bapa yang sudah tua.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kita didedahkan dengan fakta bahawa satu daripada setiap empat anak di negara ini tidak mampu menghulurkan bantuan sara hidup kepada ibu bapa yang sudah tua. Fakta itu adalah hasil kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) yang disiarkan media September lalu.

Ia sebagai pelengkap kepada fakta berkaitan, iaitu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mendapati lebih 500,000 ibu bapa warga tua di negara ini tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing. Logiknya, bagaimana mungkin anak-anak mereka mengutamakan huluran kepada ibu bapa, sedangkan kebutuhan diri sendiri pun gagal dipenuhi?

Dapat kita lihat juga ramai orang berhutang yang terdorong memilih jalan yang salah, sama ada untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang atau melarikan diri daripada membayarnya. Ada yang sanggup menipu, menerima rasuah, bahkan menyamun, semata-mata untuk memenuhi keperluan terdesak itu.

Islam telah mengenalpasti betapa keadaan berhutang amat mengganggu perasaan seseorang. Sebab itu amalan berhutang tidak digalakkan, sebaliknya sesiapa yang berhutang digalakkan bersegera menjelaskannya tatkala berkemampuan.

Di masa sama, Islam menyanjung tinggi khalayak pemiutang yang bersedia menghapuskira hutang orang dengannya. Banyak hadith menjanjikan balasan terbaik untuk individu pemurah sebegini.

Agama kita turut mewujudkan ruang agak istimewa untuk mereka yang berhutang, termasuk dibolehkan meminta-minta, bahkan dikategorikan sebagai layak menerima sumbangan zakat, sekadar memenuhi keperluan melunaskan hutang mereka.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kini sepatutnya diambil sebagai ingatan tentang padah amalan suka berhutang. Hakikat itu juga wajar menjadi desakan lebih kuat untuk kita lebih menghayati maksud bait-bait zikir al-Ma’thurat yang kita lafazkan saban hari.

~Artikel ini ditulis oleh Mohd Nasir Awang~

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0