Anak cemerlang – Ibu bapa perlu ubah persepsi!

Setiap kali bermula sesi persekolahan, ibu bapa antara individu yang paling sibuk. Selain memastikan segala kelengkapan persekolahan mencukupi, mereka juga sibuk mencari pusat tuisyen sebagai persediaan bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan besar.

Sememangnya tidak dinafikan usaha memastikan kecemerlangan anak-anak bukan hanya bermula apabila anak-anak akan menduduki peperiksaan, tetapi ia seharusnya dirancang dari peringkat awal lagi. Manakala skop kecemerlangan itu juga tidak hanya difokuskan kepada kecemerlangan IQ semata-semata, tetapi cemerlang dari sudut EQ dan SQ juga.

Era Muslimah telah berkesempatan menemubual Dr. Hj. Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pakar motivasi MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd  untuk berkongsi pandangan.

Membicarakan tentang pembinaan anak-anak cemerlang, beliau mengambil pendekatan asas yang menyeluruh sebagaimana yang diajar oleh Islam iaitu bermula dengan  pemilihan pasangan hidup.

“Kalau kita lihat, Nabi saw menyuruh kita memilih pasangan yang baik. Baik bukan dari  segi agama dan akhlaknya sahaja, tetapi baik dari segi IQ. Sebab itu kita disaran mencari pasangan yang bijak dan cerdik, supaya dapat melahirkan anak yang bijak. Bijak yang dimaksudkan bukan diukur dari segi pekerjaannya, seperti tukang cuci dan sebagainya kerana mereka yang bekerja sebegitu bukan bodoh tetapi mungkin tidak mendapat peluang pendidikan yang sempurna. Bijak yang dimaksudkan ialah sempurna akalnya.”

Kemudian, perkara kedua yang merangsang anak menjadi cemerlang ialah bentuk pengisian ketika anak di dalam kandungan. Ibu bapa yang banyak membaca al-Quran, berzikir, menjaga pemakanan dalam erti kata makan makanan yang baik dan terjamin halalnya serta memberikan pendedahan positif terhadap bayi yang dikandung, maka anak-anak yang dilahirkan juga akan menjadi anak-anak yang aktif perkembangan mindanya.

Manakala perkara ketiga yang perlu diberi perhatian ialah sesudah anak dilahirkan, apakah bentuk pengisian yang didedahkan seperti pemilihan alat permainan yang boleh merangsang otak dan pendidikan awal yang diberikan oleh ibu bapa.

“Tiga faktor yang saya sebutkan tadi ialah perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa sebagai asas melahirkan anak-anak yang cemerlang. Apabila anak-anak sudah bersedia, maka bolehlah dimulakan pembelajaran secara formal dengan menghantarnya ke tadika. Ini penting kerana lebih awal anak-anak diberi pendedahan, maka lebih awal dia menguasai asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira serta mengenal istilah-istilah Sains yang ringkas.”

Jelasnya, membina kecemerlangan anak-anak sebenarnya bermula di peringkat anak masih di awal alam persekolah dan bukannya apabila anak berada di tahun peperiksaan.

“Kalau ibu bapa tidak menanam tabiat membaca dan membuat kerja sekolah dari awal di peringkat sekolah rendah, maka apabila anak itu memasuki sekolah menengah, tabiat itu tidak melekat di mindanya. Ibu bapa perlu membuat peraturan agar anak-anak menyiapkan dahulu kerja sekolah atau bersolat sebelum bermain atau menonton tv dan perlu tegas dengan peraturan tersebut. Walaupun pada permulaannya mereka terasa dipaksa, lama kelamaan ia menjadi kebiasaan kerana anak sudah faham jadualnya; balik sekolah, perlu mandi, solat, makan dan siapkan kerja sekolah.”

Jelasnya kebiasaan yang menjadi tabiat ini akan menjadikan anak-anak lebih berdisiplin dan tidak berlengah membuat persediaan apabila berada di tahun peperiksaan.

“Tidak dinafikan ramai anak-anak yang menyatakan tidak guna mereka belajar dan memberikan tumpuan di awal di minggu pertama persekolahan. Malah sewaktu program yang saya kendalikan, ramai pelajar memberitahu saya, ‘kalau kami belajar awal tak guna, nanti lupa. Makin dekat dengan peperiksaan, otak kami makin hebat’. Sebenarnya anak-anak tidak faham apa tujuan belajar awal dan tujuan belajar yang semakin hampir dengan peperiksaan. Malah ramai yang tidak tahu apa tujuan belajar sebenarnya. Belajar bertujuan supaya daripada tidak tahu menjadi tahu dan daripada tidak faham menjadi faham. Apabila belajar awal, mereka akan ada masa untuk bertanya perkara yang tidak difahami, mencari bahan-bahan dari luar, di internet dan sebagainya.”

Punca pelajar tidak cemerlang bukan disebabkan mereka tidak pandai tetapi mereka tidak menguasai teknik pembelajaran. Ramai pelajar tidak membuat persediaan untuk masuk ke kelas dan apabila tidak faham mereka tidak bertanya dengan guru.

“Sepatutnya apa yang tidak difahami jangan dikumpulkan, sebaliknya terus bertanya kepada guru dan dapatkan kefahaman mengenainya. Mungkin kita tidak ingat mengenai pelajaran yang diajar, tapi tidak mengapa kerana mengingat adalah proses kemudian.”

Jelasnya, proses memahami adalah proses yang sangat penting kerana jika pelajar tidak faham mereka akan hilang motivasi, hilang fokus dan mengalami kebuntuan. Jika ini berlaku mereka akan gagal menyusun stategi belajar yang berkesan.

“Sebenarnya, teknik belajar di awal, pertengahan dan ketika menghampiri peperiksaan adalah berbeza.  Belajar di peringkat awal adalah untuk memahami dan menguasai dengan baik. Di peringkat inilah pelajar-pelajar menyediakan nota-nota ringkas dan peta minda untuk di manfaatkan ketika di pertengahan tahun dan dekat waktu peperiksaan. Apabila peperiksaan hampir tiba, cara pembelajaran juga berbeza, iaitu ia menjadi masa untuk mengingat, lebih fokus dan masa untuk membuat latih tubi soalan-soalan,” ujarnya memberikan tips.

Bagi menjawab kenyataan anak-anak bahawa mereka lebih  mengingat jika belajar hampir dengan waktu peperiksaan, beliau memberitahu hal tersebut terjadi kerana anak-anak sudah meletakkaan seluruh tenaga, usaha dan tumpuan untuk peperiksaan atau dengan kata lain mereka benar-benar fokus terhadap pelajaran.

“Fokus  tenaga dan kesungguhan kalau diletakkan dengan betul akan dapat memecahkan kebuntuan mereka. Dan apabila pelajar dapat memecahkan kebuntuan, barulah akan datang motivasi. Seharusnya fokus dan kesungguhan ini diterap lebih awal dan bukan di saat-saat akhir menghadapi peperiksaan.”

Ditanya adakah perlu anak-anak dihantar ke kelas tusyen, beliau berpendapat tidak semua anak memerlukan bantuan tersebut.

“Bagi saya, anak hanya perlu tusyen apabila dia telah melakukan yang terbaik di sekolah tapi masih tidak mampu untuk menguasai subjek tersebut. Jadi tidak bermakna semua subjek perlu kepada kelas tusyen. Kita tidak mahu apabila anak tahu mereka ada kelas tusyen, mereka akan belajar sambil lewa di sekolah. Sebab itu anak-anak perlu ada kemahiran untuk duduk dalam kelas, kemahiran untuk memberi tumpuan, bertanya soalan-soalan, kemahiran untuk mencatat nota-nota, kemahiran untuk membaca dengan berkesan, kemahiran untuk mengingat dan menjawab soalan.”

Tambahnya lagi, anak-anak sebenarnya perlu masa untuk berehat, bermain, bersama keluarga, rakan-rakan dan masa untuk dirinya sendiri. Anak-anak yang tidak ada masa untuk dirinya, tidak akan dapat berkembang secara seimbang dari segi IQ, EQ dan SQnya.

Bagi anak-anak yang tinggal di asrama pula, mereka sebenarnya memerlukan beberapa skil yang berbeza untuk tampil cemerlang. Mereka perlukan skil pergaulan yang baik dan kebolehan mencari kawan yang boleh membantu mereka. Selain itu mereka juga perlu ada skil bertanya, sehingga melalui pertanyaan, mereka boleh merungkai dan menyelesaikan masalah. Dan yang  ketiga ialah skil belajar secara berkumpulan.

Memang tidak dinafikan ramai ibu bapa yang taksub dengan keputusan peperiksaan anak-anak. Ibu bapa tertekan untuk mendapat anak yang cemerlang disebabkan tekanan daripada persekitaran dan masyarakat.

“Walau bagaimanapun ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak adalah unik; anak-anak mempunyai kepintaran yang pelbagai dan kita kena terima yang tak semua anak akan dapat semua A. Ada yang cemerlang dari segi akademik dan ada anak cemerlang dalam bidang kemahiran. Jangan taksub kepada A tetapi seimbangkan hidupnya dengan aktiviti ko-kurukulum. Ibu bapa perlu terima seadanya kerana ini membuatkan anak lebih hormat dan akrab dengan mereka.”

Justeru beliau menasihati ibu bapa agar mengubah perspektif dalam membina dan mendefinisikan kecemerlangan anak-anak. Kecemerlangan mesti diukur berlandaskan kebolehan setiap anak dan ia mesti seimbang dari segi akademik dan akhlak.

“Kita besarkan anak bukan untuk keputusan mereka pada hari ini tetapi karakter mereka di masa hadapan. Dalam membina kecemerlangan perlu ada pengorbanan. Ibu bapa yang banyak menyemai akan banyak menuai.”

 

Tips kecemerlangan

  1. Belajar dari awal
  2. Membuat persediaan awal sebelum masuk ke kelas
  3. Jangan bertangguh mendapatkan penerangan kalau tidak faham
  4. Buat nota ringkas dan peta minda
  5. Lakukan latih tubi ketika hampir peperiksaan

 

Untuk study group berkesan

  1. Tidak terlalu ramai ahlinya.

  2. Setiap ahli perlu membuat persediaan terlebih awal mengenai tajuk yang akan dibincangkan.

  3. Berkongsi apa yang difahami dan tidak difahami sewaktu sesi perbincangan

  4. Bersama-sama mendapat penerangan daripada guru mengenai apa yang tidak fahami.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0