Teknologi: Anak-anak makin tandus adab? 

 

Tanpa kita sedari, kecanggihan teknologi telah menghakis adab dan akhlak anak-anak. Perasankan anda perbezaan budaya antara anak-anak hari ini yang berada dalam ‘pelukan’ teknologi dengan anak-anak zaman dahulu yang girang bermain bersama teman-teman dan bergaul mesra dengan yang lebih dewasa?

Dalam diam perkakas teknologi dan aplikasinya telah merubah gaya hidup anak-anak kita menjadikan mereka kadang-kadang berada dalam dunia yang berbeza dengan alam realiti. Apa yang menggusarkan lagi, mereka hilang sentuhan manusiawi dan pudar emosi prihatin dengan persekitaran hakiki. Mata mereka lebih galak untuk menatap skrin komputer, tablet dan televisyen daripada menatap redup wajah ibu, ayah, datuk, nenek atau tetamu-tetamu yang datang berkunjung.

Fikiran mereka lebih banyak berputar sekitar alam game, watak kartun, adegen filem atau rakan-rakan dalam facebook daripada berfikir tentang alam realiti yang hakikatnya memerlukan mereka memenuhi amanah dan tugas dalam kehidupan.

Ditegaskan bahawa teknologi membawa begitu banyak manfaat dan kebaikan, bukan sahaja untuk urusan keduniaan, bahkan juga membantu urusan ibadah dan ukhrawi seseorang muslim.

Namun, kewujudannya juga membuka ruang yang semakin besar kepada gejala maksiat dan dosa. Kecekapan dan kepantasan pemindahan maklumat dan paparan menjadikan anak-anak mudah terjebak dalam kelekaan maksiat.

Rupa-rupanya gelombang teknologi ini bukan sahaja menduga soal kekentalan anak-anak berdepan dengan maksiat, bahkan juga membawa angin kemalasan, sikap kurang cakna dan ketandusan akhlak serta adab.

Di sebalik gajet

Gajet canggih ciptaan manusia kini banyak memberikan faedah. Kita semua menganggap teknologi amat penting dan perlu dimanfaatkan. Hal ini tiada pertikaian. Namun di sebalik kecanggihan gajet-gajet itu, perlu ada kerisauan di hati ibu bapa.

Ia bukan sahaja berpotensi menggalakkan maksiat, bahkan secara diam membentuk satu budaya baru. Budaya ini mungkin sebahagiannya positif, namun jika tidak diteliti dengan waspada mungkin ia membawa mudarat kepada pembentukan adab anak-anak.

Kita semua maklum bahawa alat elektronik, seperti permainan komputer sama ada dalam bentuk Play Station (PS), permainan atas talian (on-line game) atau permainan komputer amat menghiburkan dan melekakan. Begitu juga siaran televisyen atau filem-filem dari DVD begitu mengasyikkan.

Anak-anak yang bermain permainan ini atau menonton filem atau siri televisyen kesukaan biasanya sukar untuk meninggalkannya apabila disuruh melakukan kerja lain. Bahkan keasyikan dan keseronokan itu terbawa-bawa walaupun seseorang itu telah selesai bermain atau menonton.

Hakikatnya ramai yang tidak menyedari aspek ketagihan dalam menggunakan teknologi.  Sebab itulah usah kita hairan apabila mendapati ramai anak-anak melepak lama-lama di kafe-kafe siber untuk bermain permainan komputer atau melayari internet.

Kecenderungan ini membuatkan mereka semakin kurang berkomunikasi secara berdepan dengan manusia akibat banyak berinteraksi dengan perkakas elektronik.

Bahkan mereka semakin kurang bercakap dengan ibu bapa atau saudara mara akibat banyak masa digunakan untuk mengadap komputer atau televisyen. Sedangkan Islam mementingkan aspek komunikasi dan interaksi dengan manusia. Bahkan Islam menganggap perkara kecil seperti senyum sebagai suatu yang penting dan signifikan.

Yang tua dihormati

Peralihan budaya ini boleh dilihat dalam suasana berziarah dan perkumpulan sesama sahabat atau saudara mara. Umpamanya tatkala berziarah ke kampung, anak-anak hari ini kelihatan kurang cakna dengan orang-orang tua yang patut disantuni.

Sepatutnya waktu pulang ke kampung digunakan untuk menyantuni nenek dan datuk atau saudara-mara yang lain. Namun masa mereka lebih banyak dihabiskan di hadapan skrin televisyen, skrin komputer atau tablet. Lebih mendukacitakan, mereka kadang-kadang cepat melenting dan merungut-rungut apabila diminta untuk meninggalkan kelekaan itu.

Sikap ini tentunya berbeza dengan saranan agama yang menuntut agar umat manusia, khususnya anak-anak muda menghormati golongan tua. Wajah datuk dan nenek perlu ditatap dengan penuh kasih sayang. Mereka perlu dilayan dengan penuh keceriaan dan kasih sayang.

Dalam riwayat Ahmad dan Tarmizi, dari Ibnu Umar r.a.: Rasulullah saw bersabda: “Bukan dari golongan kita orang yang tidak mengasihi yang muda dan tidak menghormati yang tua.”

Bukah itu sahaja, Islam juga menggesa agar anak-anak berkomunikasi dengan orang secara yang beradab dan penuh hormat. Bahkan dalam berinteraksi sesama adik beradik pun mereka perlu bersopan dan berlemah lembut.

Budaya murni ini perlu dijaga dengan rapi agar pengaruh kekerasan dan kurang ajar yang dipromosikan dalam ‘game’ atau televisyen tidak mempengaruhi anak-anak. Adab dalam berkomunikasi amat dititik beratkan oleh Baginda saw.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada saudaranya dengan menggunakan besi, maka sesungguhnya para malaikat mengutuknya sehingga dia meninggalkan perbuatan itu, sekali pun saudara yang ditunjuknya itu adalah saudara seibu sebapa.”   (Riwayat Muslim)

Adab dengan tetamu

Demikian juga tatkala tetamu datang berkunjung ke rumah. Mereka lebih senang menonton televisyen atau mengadap komputer daripada menghiraukan tetamu. Sehinggakan mereka amat liat untuk meninggalkan paparan itu untuk bersalaman dan bertanya khabar kepada tetamu ibu dan ayah yang datang berkunjung.

Menghormati tetamu merupakan tuntutan yang amat besar di sisi agama sehingga Rasulullah saw mengaitkannya dengan iman kepada Allah SWT. Bahkan mereka yang rasa bosan atau terganggu dengan kehadiran para tetamu, perlu berusaha untuk menerima tetamu dengan sebaik-baiknya setakat yang terdaya dan mengikhlaskan diri dalam menyambut dan meraikan mereka.

Sabda Rasulullah saw: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia menghormati tetamu.”  Dalam riwayat Imam Ahmad, Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak menerima tetamu.”

Saya paparkan di sini satu kisah bagi membayangkan betapa besarnya penghormatan para sahabat kepada tetamu, sehingga mereka sangup menderita demi mengutamakan para tetamu. Bahkan mereka sekeluarga sanggup berlapar, demi memastikan para tetamu mendapat layanan dan makanan.

Kisah yang direkodkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari ini bermula dengan kedatangan seorang tetamu lelaki kepada Rasulullah saw, lalu Baginda meminta seorang utusan memberitahu kepada isteri-isteri Baginda. Para isteri itu berkata: “Tidak ada pada kami melainkan air sahaja.”

Allah kagum denganmu

Lantas, Rasulullah saw bersabda: “Siapakah di antara kalian yang mahu mengambil atau menerima lelaki ini sebagai tetamunya?” Maka berkatalah seorang lelaki dari kaum Ansar: “Saya, wahai Rasulullah saw.”

Lalu dibawa orang itu kepada isterinya sambil berkata kepada isterinya: “Hormatilah tetamu Rasulullah saw.” Maka isterinya berkata: “Tidak ada pada kami kecuali makanan untuk anak-anak kecil.” Maka berkatalah lelaki itu: “Siapkanlah makananmu dan perbaikilah pelitamu (agar suasana lebih gelap) dan tidurkan anak-anak kecilmu apabila mereka hendak makan malam.”

Maka isterinya pun menyiapkan makanan, memperbaiki pelitanya dan menidurkan anak-anaknya. Kemudian dia bangun seolah-olah mahu memperbaiki lampunya lalu dia memadamkannya dan kedua-dua suami isteri itu berpura-pura seperti orang yang sedang makan. Oleh itu tetamu mereka mempunyai makanan yang cukup untuk dimakan sedangkan mereka sendiri tidur dalam keadaan perut kosong.

Tatkala waktu pagi, sahabat Ansar itu pergi kepada Rasulullah. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah kagum melihat perbuatanmu terhadap tetamu kalian berdua malam tadi.” Dan Allah menurunkan ayat yang bermaksud: “Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekali pun diri mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari sifat kedekut dalam dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr:9)

Bahasa biar cantik

Anak-anak juga perlu dididik menggunakan teknologi dengan adab yang betul. Ramai yang kurang adab apabila berinteraksi melalui medium  teknologi. Sebagai contoh, mereka kadang-kadang ‘lupa’untuk beradab sopan ketika berbicara melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau ketika menggunakan facebook atau e-mail. SMS yang dihantar kepada orang dewasa termasuklah ibu bapa, guru atau saudara-mara kadang-kadang menggunakan bahasa yang hanya sesuai untuk rakan sebaya.

Ada juga anak-anak yang membuat catatan yang tidak sesuai dan tidak sopan dalam Facebook. Mereka tidak berfikir bahawa catatan tersebut bukanlah catatan dairi peribadi untuk bacaan sendiri, tetapi satu pernyataan terbuka yang dibaca oleh rakan-rakan mereka.

Mereka mungkin lupa bahawa adab dalam berbicara bukan sahaja apabila berhadapan, bahkan juga melalui talian internet atau medium komunikasi lain.

Tegasnya, anak-anak perlu sentiasa diingatkan tentang adab dalam menggunakan teknologi. Peranan teknologi untuk memudahkan urusan seharian, namun ia tidak sepatutnya menyebabkan anak-anak hilang budaya murni dalam urusan kehidupan.

Ibu bapa mempunyai peranan besar untuk memandu anak-anak ke arah penggunaan teknologi secara beradab. Tugas ini agak mencabar memandangkan ia cabaran baru yang tidak pernah wujud ketika mereka di alam kanak-kanak dahulu. Hakikatnya, mereka tetap akan ditanya oleh Allah tentang tanggungjawab mendidik anak dalam memanfaatkan teknologi secara beradab. Selamat berjuang, wahai ibu bapa sekalian.

~Artikel ini ditulis oleh Ustazah Ros Izanuri bt. Jamaluddin~

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0