Kaedah Mendidik dari Uslub Al-Quran: Kaedah Pengulangan

Al-Quran satu kitab yang menakjubkan. Wibawa al-Quran dalam mempamerkan kaedah yang paling hebat dalam pendekatan penyampaiannya adalah satu perkara yang di luar tandingan manusia. Al-Quran adalah kalam Allah. Antara fungsi utama aL-Quran adalah sebagai wahana pendidikan jiwa, pemikiran dan emosi manusia. Kaedah pendidikan al-Quran adalah luar biasa agungnya. Kerananya manusia terpikat dan terpesona. Misalnya, hati Umar Al-Khattab yang pada awalnya keras lagi bengis dan berniat mahu membunuh Rasulullah saw akhirnya menjadi lembut dan tertawan dek kehebatan al-Quran.

Ibu bapa tentunya rugi jika tidak memanfaatkan pendekatan al-Quran untuk mendidik anak-anak. Anak-anak adalah manusia ciptaan Allah. Dia Maha Mengetahui keperluan emosi dan psikologi manusia. Apabila Allah ingin mendidik manusia menerusi al-Quran Allah menggunakan keadah yang terbukti berkesan untuk membangun dan mengubah manusia. Inilah kaedah yang perlu dicedok oleh ibu bapa untuk diaplikasikan dalam pendidikan anak-anak.

Pendekatan Manusiawi

Para pengkaji al-Quran merumuskan beberapa uslub atau cara yang terdapat dalam al-Quran dalam menyampaikan mesejnya. Antaranya cara penceritaan, cara pengulangan, cara perumpamaan, cara penegasan. Selain itu al-Quran juga mengambil pendekatan humanistik, iaitu menyampaikan mesejnya sesuai dengan tabiat, kepelbagaian dan perkembangan manusia seperti pendekatan secara berperingkat, pendekatan melalui keindahan bahasa dan bacaan dan pendekatan anjal tanpa terikat dengan urutan susunan sukatan pendidikan yang hendak disampaikan pada keseluruhannya.

Sememangnya dalam al-Quran terdapat banyak cerita yang disampaikan untuk menjadi pengajaran sepanjang zaman. Pendekatan ini terbukti penting dalam menarik perhatian anak-anak terutamanya dalam era ledakan teknologi maklumat yang kita alami kini. Insya-Allah, dalam catatan bulan ini anda diajak untuk merenung satu pendekatan al-Quran lain iaitu ‘teknik pengulangan’.

Minda bawah sedar

Teknik pengulangan bermaksud menyampaikan sesuatu mesej secara berulang-ulang, sama ada menggunakan perkataan dan cara yang sama atau berbeza-beza. Dalam al-Quran memang terdapat banyak mesej yang disampaikan secara berulang-ulang. Kita temui pesanan berkaitan hari akhirat, balasan syurga dan neraka, berkaitan tauhid serta sifat-sifat kesempurnaan Allah, kepentingan taqwa, berfikir dan kesyukuran disebut-sebut secara berulang-ulang. Bahkan turut diselitkan dalam ayat-ayat berkaitan hukum-hakam. Pengulangan ini dibuat dengan sempurna sesuai dengan konteks surah dan ayat. Kebanyak pengulangan dibuat menggunakan kalimah yang berbeza walaupun ada juga yang datang dengan kalimah yang sama.

Pengulangan bukan sahaja berlaku dalam penyampaian mesej, bahkan ada juga cerita tentang sesuatu peristiwa yang diulangsebut dalam beberapa surah yang berbeza. Contohnya peristiwa ‘pertarungan’ antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa disebut di tiga tempat di dalam al-Quran. Apa yang menarik kisah itu diungkap bersandarkan konteks dan penekanan berbeza-beza dan menggunakan penyampaian yang berbeza-beza. Pengulangan yang paling ketara adalah dalam Surah Al-Rahman iaitu tatkala Allah mempersoalkan sebanyak 31 kali dengan persoalan sama iaitu: ‘Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’

Teknik pengulangan amat berkesan dalam proses pendidikan, pengajaran, bahkan dalam mencetus tindakan manusia. Ia mampu untuk meningkatkan kewaspadaan, mengukuhkan keyakinan, membina kepercayaan di bawah sedar.

Bukti lain kepentingan teknik boleh dilihat melalui seruan Rasulullah saw agar kita membanyakkan zikir secara berulang-ulang seperti bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali selepas solat dan bertahlil sebanyak 100 kali.

Zikir begini mampu membina keyakinan yang kukuh dan membentuk tingkahlaku tanpa disedari oleh manusia. Teknik ini juga yang digunakan dalam pengiklanan. Iklan yang sama diulang-ulang sebagai strategi untuk membina keyakinan di bawah paras sedar di kalangan pengguna.

Pengukuhan Visi

Dalam konteks pendidikan anak-anak, teknik pengulangan boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah melazimi doa dan ucapan pada waktu-waktu tertentu seperti sebelum tidur, makan dan sebagainya.

Doa dalam bahasa yang difahami oleh si anak sebelum tidur umpamanya dapat mengukuhkan keyakinan tentang sesuatu perkara. Dalam doa itu ibu bapa boleh masukkan visi kehidupannya untuk menjadi anak yang soleh, taat perintah Allah, Rasul dan kedua ibu bapa dan sebagainya.

Boleh juga dimasukkan sifat-sifat baik yang menjadi lawan kepada tabiat buruknya. Doa yang dibaca berulang-ulang ini selain sebagai permohonan kepada Allah, ia juga mampu membentuk pemikiran anak-anak untuk mencapai apa yang dihasratkan tadi.

Nasihat dan pesanan ibu bapa juga akan lebih berkesan jika diulang-ulang. Pengulangan juga perlu dibuat pada saat yang tenang dan ketika anak tadi bersedia untuk memberikan tumpuan. Nasihat tentang iman kepada Allah, misalnya, perlu diulang-ulang dengan menyebut tentang sifat dan nama Allah.

Demikian juga nasihat tentang ibadah, akhlak dan akademik. Sebagaimana al-Quran yang menggunakan pelbagai bentuk penyampaian untuk sesuatu mesej, ibu bapa juga perlu menggunakan cara yang berbeza-beza untuk menyampaikan mesej. Di sini perlunya perancangan dan kreativiti.

Bukan Leteran

Selain itu pengulangan pernyataan cinta sayang terhadap anak-anak juga penting. Anak-anak perlu selalu disebut sayang dan cinta agar hati mereka sentiasa mekar dan segar dengan sinar kasih sayang. Anak-anak yang selalu dibelai dengan ungkapan sayang akan menjadi lebih yakin pada dirinya dan akan rasa selamat. Kekuatan ini membolehkan dia senang menerima nasihat dan teguran daripada orang yang dikasihi.

Namun perlu diingat juga bahawa teknik pengulangan tidak boleh berlaku dalam bentuk leteran. Terdapat persamaan dan perbezaan antara teknik pengulangan dan leteran. Leteran sebahagiannya berbentuk pengulangan, tetapi dengan nada memarahi dan menyalahkan. Leteran juga biasanya dilakukan di saat kesalahan telah dilakukan. Orang yang berleter sebenarnya ingin melepaskan perasaan atau meluahkan emosinya. Kadang-kadang ia disertai dengan ayat-ayat yang menyakitkan hati sasarannya.

Sebaliknya teknik pengulangan dilakukan sebagai ingatan dan pesanan secara mesra dan sayang. Ia tidak dilakukan sebagai tindakbalas kepada kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya ia adalah satu siri nasihat yang perlu dalam proses pendidikan dan pengislahan diri anak. Selain itu, mesej yang diulang-ulang itu perlulah mesej positif, dengan pendekatan berkesan. Anak yang mendengar leteran akan memberontak dan menjawab, sama ada secara jelas atau di dalam hati. Namun anak-anak yang dinasihati secara tenang akan bersedia untuk berfikir dan bertindak mengikut apa yang dinasihatkan, insya-Allah.

Demikianlah sedikit perkongsian tentang teknik pengulangan. Tegasnya, kaedah ini amat penting untuk membina sesuatu keyakinan dan seterusnya mengubah keperibadian anak-anak. Semoga perkongsian ini memberikan dorongan untuk meningkatkan kemahiran dalam pendidikan anak-anak. Anda semua ibu bapa yang hebat. Anda memang ibu bapa yang hebat. Gunakan kehebatan anda untuk berjihad mendidik anak menjadi soleh dan solehah. Selamat mengulang-ulang nasihat, pesanan dan pernyataan visi demi anak-anak yang dicintai!

~Artikel ditulis oleh Ustazah Ros Izanuri Jamaludin, huraian daripada buku “Pendidikan Anak Menurut Islam” – Abdullah Nasih Ulwan~

 

 

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0