11 Perkara Tidak Patut Kita Lakukan Kepada Anak

  1. Tidak patut memaki dan memarahi anak dengan kata-kata yang kesat kerana ianya satu doa. Cakap yang baik-baik, doa yang baik-baik, fikir yang baik-baik.
  2. Tidak patut memukul seorang anak itu jika dia berusia 10 tahun ke bawah – saya mengambil intipati hadith solat. Baginda saw  hanya menyatakan boleh dipukul anak itu jika tidak solat pada usia10 tahun. Itu pun kerana solat. Apa yang lebih hebat daripada solat?
  3. Tidak patut membandingkan anak kita dengan anak yang lain atau dengan anak orang lain. Sudah tentu potensi anak kita berlainan dengan anak orang lain.
  4. Tidak patut kita mengabaikan anak kita sewaktu kita berada dekat dengannya, seperti hanya menumpukan kepada telefon dan kerja sedangkan anak berada di sebelah kita. Seharusnya kita banyakkan berbual dan bergurau dengan anak pada waktu itu.
  5. Tidak patut kita hanya memaksa dan memadatkan jadual anak dengan jadual akademik semata-mata. Mereka juga memerlukan masa lapang dan rehat untuk bermain dan berhibur seperti kita juga.
  6. Tidak patut kita kedekut dengan anak-anak apabila mereka meminta sesuatu yang kita rasakan membazir bagi kita seperti mainan, tapi kita tidak berkira pula mahu beli rokok dan gajet telefon misalnya.
  7. Tidak patut memberi terlalu banyak kebebasan. Nyatakan limit dan peraturannya agar mereka tahu batasan yang mereka tidak boleh langkaui.
  8. Tidak patut kita berakhlak tidak baik di hadapan mereka contohnya bersikap samseng di dalam kereta kerana anak-anak memerhati dan mendengar percakapan kita.
  9. Tidak patut merendahkan orang lain di hadapan anak kerana anak akan memandang rendah orang lain dan kurang sifat hormat mereka.
  10. Tidak patut kita bersikap sangsi atau tidak percaya kepada anak terlalu berlebihan. Bersifatlah seperti itu dengan batasan tertentu sahaja kerana ia akan hanya merendahkan anak itu.
  11. Tidak patut memarahi guru anak di hadapan anak. Hal ini membuatkan anak benci dan tidak menghormati guru tersebut. Semoga kita sentiasa mengasihi dan mempunyai sifat ihsan kepada anak-anak kita.

Artikel ini ditulis oleh Pn. Ashikin Hashim Pengetua Genius Aulad Saujana Utama.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0