Syeikhah Zainab binti Muhammad al-Ghazzi, Ulama Wanita Yang Berjiwa Seni.

Tokoh ulama wanita yang akan dipaparkan pada kali ini bernama Zainab binti Muhammad al-Ghazzi, seorang ulama wanita bermazhab Syafie. Beliau telah dilahirkan di Damsyik pada bulan Zulkaedah tahun 910 hijriyyah. Beliau dianggap oleh ahli sejarah sebagai antara wanita yang paling mulia pada zamannya. Beliau masyhur sebagai seorang ulama wanita yang beragama dan solehah.

Beliau telah mempelajari kitab “Tanqih al-Lubab” dan sebahagian daripada kitab “al-Manhaj” daripada ayahanda beliau sendiri. Beliau juga telah menulis beberapa buah buku ayahandanya dengan menggunakan tulisan tangannya. Pujian terhadap ayahandanya telah dirakamkan di dalam sebuah qasidah yang berbunyi:

إنما العلم الذي               جمع العلم واكتمل

قام فيه بحقه          يتبع العلم بالعمل

سهر الليل كله               بنشاط بلا كسل

فهو في الله دأبه              أبد الدهر لم يزل

حاز علما بخشية    وبدنياه ما اشتغل

Sesungguhnya seorang yang alim itu

Menghimpunkan ilmu dan menyempurnakan

Menegakkan haknya dalam kehidupan         

Dengan mengiringi ilmu dengan amalan

Sanggup berjaga sepanjang malam              

Cergas sekali tidak bermalasan

Di jalan Allah jalan hidupnya            

Sejak dahulu hingga sekarang

Mendapat ilmu dengan takutkan Tuhan       

Urusan dunianya tidak disibukkan

Beliau juga telah banyak menggubah syair-syair yang tinggi nilai kesenian dan menyentuh hati sehinggakan adiknya Najmuddinal-Ghazzi telah menyebut bahawa beliau merupakan antara keajaiban dan mutiara yang sukar ditemui pada zaman tersebut. Beliau meninggal dunia pada tahun 980 hijriyyah.

Ayahanda beliau pula ialah Imam Muhammad bin Muhammad al-Ghazzi al-‘Amiri al-Dimasyqi, yang terkenal dengan gelaran Badruddin, salah seorang fuqaha bermazhab Syafie, yang turut mendalami ilmu Usuluddin, Tafsir dan Hadis. Beliau telah menyusun lebih daripada 100 buah buku, tiga daripadanya merupakan kitab tafsir manakala kebanyakan yang lain berbentuk risalah-risalah, hawasyi dan syarah kepada pelbagai kitab. Antara buku yang dikarang oleh beliau bertajuk “Jawahir al-Dhakha’ir Fi al-Kaba’ir wa al-Sogho’ir”. Semua tajuk-tajuk buku beliau telah dihimpunkan di dalam sebuah buku kecil oleh anakandanya Najmuddin al-Ghazzi.

Pada pertengahan usianya, Imam Badruddin ini telah menguzlahkan dirinya, tidak keluar bertemu dengan mana-mana orang kenamaan mahupun pemerintah. Justeru itu, para pemerintah yang akan pergi mencarinya apabila mereka memerlukan pandangan dan nasihat beliau. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang pemurah, banyak melakukan kebajikan, malah beliau telah menyediakan bantuan kewangan, hadiah dan pemberian yang tetap kepada murid-muridnya sendiri. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 983 hijriyyah.

Adinda kepada Syeikhah Zainab pula bernama Najmuddin Muhammad bin Muhammad al-Ghazzi, iaitu seorang tokoh sejarah dan penyair yang masyhur. Beliau terkenal melalui dua buah kitabnya yang bertajuk “al-Kawakib al-Sa’irah bi A‘yan al-Mi’ah al-‘Asyirah” dan “Lutofu al-Samar wa Qutofu al-Thamar min TarajimA‘yan al-Tobaqah al-Ula min al-Qarn al-Hadi ‘Asyar”. Beliau meninggal dunia pada tahun 1061 hijriyyah.

Semoga Allah merahmati dan memberikan sebaik-baik ganjaran kepada mereka yang telah mewakafkan usia untuk penyebaran ilmu-ilmu Islam.

Rujukan: Muhammad Khayr Yusuf, FaqihatAlimat (Ulama Wanita Yang Faqih), Dar Tuwaiq, 1993.

(Artikel ini ditulis oleh Ustazah Nurul Akma bt. Mohamed@Sheikh Mohd. Amin, Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, (KIAS) Nilam Puri.

 

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0