Pelik tapi halal

Halal berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud diizinkan ataupun dibolehkan. Dari segi makanan, ia merupakan piawai diet yang telah ditetapkan di dalam al-Quran bagi umat Islam. Pelbagai variasi bangsa turut menghasilkan kepelbagaian budaya; termasuk juga aspek pemakanan. Terdapat banyak makanan yang unik tetapi halal untuk dimakan. Antaranya seperti:

Gỏi cuốn (Vietnam)

~ Popia atau Lumpia atau spring roll memang tidak asing bagi masyarakat di seluruh dunia. Vietnam memiliki sajian popia yang cukup popular dan sering menjadi pembuka selera. Popia ini dikenali sebagai “Gỏi cuốn” dan “Chả giò”. Kedua-duanya menggunakan kulit pembalut yang dinamakan “Bánh tráng”.

Pembalut nipis berwarna putih ini diperbuat daripada tepung beras. Kaedah pembuatan Gỏi cuốn ini berbeza-beza mengikut wilayah. Ada yang mengisi popia itu sepenuhnya dengan sayur, tetapi ada juga yang menambah udang. Gỏi cuốn secara umumnya dihidangkan pada suhu bilik (atau disejukkan) dan tidak digoreng atau dimasak di bahagian luarnya.

Hidang ini turut terkenal di negara Barat, bahkan ia berada di kedudukan ke-30 daripada 50 makanan yang paling lazat di seluruh dunia yang diterbitkan oleh CNN Go. Gỏi cuốn menjadi pembuka selera yang sangat popular di kalangan pelanggan di restoran masakan Vietnam.

Falafel (Asia Barat)

~ Kemudian kita beralih pula kepada makanan popular di negara Asia Barat. Falafel yang berbentuk seperti bebola daging ini sangat unik kerana ia sebenarnya merupakan makanan Vegan (sayuran). Makanan yang diperbuat daripada kacang kuda dan kacang fava, ini boleh didapati di restoran makanan Timur Tengah di seluruh dunia.

Secara tradisionalnya, ia diperisakan dengan pelbagai rempah dan herba seperti jintan, bawang, parsli, dan ketumbar. Ia kemudiaannya dibentuk seperti bebola dan digoreng sehingga menjadi coklat keemasan. Falafel kebiasaannya diisi ke dalam roti leper yang dipanggil “Taboon” ataupun dihidangkan bersama sayur segar, sayur jeruk dan dihidangkan bersama sos berasaskan bijan.

Gromperekichelcher (Luxembourg)

~ Lempeng kentang dari negara Luxembourg ini biasanya dimakan bersama sos epal. Ia diperbuat daripada bawang putih, kentang, tepung, garam, lada hitam, mentega, parsli, bawang merah, bawang besar, dan telur. Kemudiannya, ia diratakan dan digoreng. Hidangan ini enak dimakan panas-panas bersama sos tomato ataupun sos epal. Selain itu, ia juga boleh dimakan bersama sup.

Karjalanpiirakka (Finland)

~ Ia merupakan makanan tradisional di Bandar Karelia yang terletak di tanah yang dikongsi oleh Finland dan Rusia. Secara tradisionalnya, hidangan ini diperbuat daripada tepung rye, tetapi di sesetengah daerah seperti Karelia Utara dan Karelia Ladoga, mereka menyediakan hidangan tersebut dengan campuran tepung gandum dan tepung rye untuk meningkatkan hasil masakannya. Hidangan ini juga tidak mudah rosak dan mudah dibawa. Sesuai dijadikan snek dan dimakan dengan mentega.

Pada zaman ini, hidangan tersebut mempunyai kerak rye yang nipis dan diisi dengan nasi. Biasanya mentega dicampur dengan telur rebus yang dicincang, kemudian diletakkan di atas Karjalanpiirakka sebelum dimakan.

Selain itu, berintikan kentang lenyek dan  nasi, terdapat juga Karjalanpiirakka yang berintikan lobak. Hidangan ini juga turut dinikmati oleh seluruh warga Finland serta negara jiran iaitu Estonia dan Rusia.

Mansaf (Timur Tengah)

~ Jika anda melawat ke negara Timur Tengah, anda harus mencuba makanan yang dinamakan Mansaf. Mansaf merupakan hidangan kebangsaan Jordan yang dihidangkan untuk jamuan dan pada hari perayaan. Mansaf dalam bahasa Arab bermaksud “dulang besar”. Makanan tersebut kelihatan seperti piza besar. Ketulan daging lembu dimasak dalam sup Jameed (mempunyai pelbagai keju yang diperbuat daripada yogurt yang ditapai), dihiasi dengan yogurt, kacang badam, dan kacang pine. Ia kemudian dihidangkan bersama nasi di atas dulang besar yang dipenuhi roti leper.

Sebagai kesimpulannya, makanan unik dari negara luar yang diyakini halal bukan sahaja boleh menambah lagi keyakinan pelancong-pelancong Muslim untuk ke negara-negara tersebut, malah ia juga dapat memperkenalkan makanan unik negara tersebut kepada seluruh dunia.

Sebagai pelancong Muslim, anda tidak perlu berasa khuatir atau menghadapi kesukaran ketika melancong di negara luar. Ini kerana, kini terdapat kemudahan seperti aplikasi online (dalam talian) yang boleh memberi panduan mengenai makanan halal di negara yang anda lawati.

(Artikel ini sumbangan Global Excursion (M) Sdn. Bhd.)

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0