Masalah Gigi Sensitif

Ramai yang mengadu mengalami masalah gigi sensitif sewaktu makan atau minum. Rasa sensitif atau ngilu ini boleh diransang oleh faktor luaran seperti makanan atau minuman yang panas, sejuk, masam dan manis. Kebiasaannya,masalah gigi sensitif berlaku pada orang dewasa.  Namun, kini lebih ramai remaja yang mengalami masalah gigi sensitif kerana gaya hidup mereka seharian.

Apa punca gigi sensitif?

Secara umumnya struktur gigi kita terdiri daripada lapisan paling luar iaitu enamel, lapisan di bawahnya dentin dan lapisan yang paling dalam iaitu pulpa. Lapisan enamel adalah paling kuat dan ia melindungi struktur gigi. Inilah kehebatan ciptaan Allah yang menjadikan lapisan enamel sebagai pertahanan kepada struktur gigi. Sekiranya lapisan enamel ini haus atau terhakis, maka bahagian dalam seperti dentin dan pulpa akan terdedah dan ini akan menyebabkan rasa ngilu atau sensitif apabila kita makan atau minum benda-benda yang panas, sejuk, manis dan masam.

Berikut adalah beberapa sebab gigi boleh menjadi haus:

1. Gusi menyusut (recession) – gusi  menyusut biasanya berlaku kepada warga emas yang menyebabkan bahagian akar akan terdedah.

2. Hakisan gigi (erosion) – lapisan luar gigi (enamel) boleh terhakis oleh tindakan asid yang terdapat dalam makanan atau minuman seperti minuman berkabonat, jus buah buahan dan minuman sukan seperti air isotonic.

3. Lelasan gigi (abrasion) – memberus gigi dengan kuat atau menggunakan berus gigi yang keras boleh menyebabkan gigi terlelas (abrasion).

4. Gigi berlubang (caries) – gigi yang rosak atau karies akan menyebabkan lapisan dalam gigi akan terdedah dan menjadikan gigi terasa sakit atau sensitif.

Bagaimana mengurangkan rasa sensitif?

1. Bersihkan gigi dengan berus gigi yang lembut dan ubat gigi khas untuk gigi sensitif.

2. Dapatkan pemeriksaan di klinik pergigian jika rasa sensitif/ngilu berterusan

Cara mencegah gigi senstitif

1. Bersihkan gigi setiap hari dengan menggunakan berus gigi yang lembut

2. Gunakan teknik yang betul semasa memberus gigi

3. Kurangkan pengambilan makanan yang masam dan minuman berkarbonat. Kesan buruk daripada minuman ini dapat dikurangkan dengan menggunakan penyedut minuman dan berkumur-kumur selepas makan atau minum

4. Lakukan pemeriksaan gigi secara berkala.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0