Kesihatan Mata Juga Ibadah

Salah satu anugerah yang paling bernilai yang dikurniakan Allah kepada manusia ialah mata. Dengan perantaraan mata, seseorang berupaya melihat alam sekeliling malah dengan mata juga kita dapat ‘membaca’ perasaan orang lain sama ada dalam situasi gembira, berduka ataupun sedang marah. Begitulah hebatnya anugerah Allah ini kepada manusia dan seharusnya manusia memelihara dan menjaganya dengan baik.

Mata secara fisiologinya adalah anggota tubuh yang mudah terkena gangguan atau jangkitan kuman. Jika seseorang lalai atau kurang peka terhadap penjagaan mata, ia boleh dihinggapi pelbagai penyakit yang berpunca daripada virus yang terdapat di persekitarannya. Oleh itu, seseorang itu sewajarnya menjaga keadaan mata dengan sentiasa berhati-hati. Terdapat beberapa gangguan pada mata, antaranya ialah gangguan mata akibat jangkitan kuman, keadaan letih, kekurangan vitamin dan juga mungkin disebabkan kemasukan benda asing seperti habuk, objek-objek kecil dan seumpamanya.

Di sini dinyatakan beberapa tips yang berkesan dalam usaha kita menjaga kesihatan mata:

1. Mengatasi kekurangan sumber vitamin.

Mata yang sihat ialah mata yang mempunyai cukup sumber vitamin khususnya vitamin A. Jika seseorang itu kekurangan sumber vitamin A, maka keadaan matanya akan mengalami gangguan. Ini kerana kekurangan vitamin A akan menyebabkan kepekaan mata terhadap cahaya. Mata akan menjadi kabur. Meskipun sekali imbas, gangguan ini nampak sangat kecil dan kurang berbahaya, tetapi jika seseorang itu membiarkan begitu sahaja, akan membawa kepada kerosakan yang lebih serius. Kekurangan vitamin A juga akan menimbulkan gangguan pada kornea atau selaput mata. Ia menjadi kering dan jika keadaan ini terjadi bermakna mata kita berada dalam keadaan bahaya. Apabila seseorang sudah sampai ke peringkat masalah kekeringan pada kornea itu, sebaik-baiknya dengan segera berjumpa doktor untuk mendapat rawatan.

Kaedah pencegahan awal yang boleh dilakukan ialah dengan mengamalkan memakan makanan yang mengandungi vitamin A seperti sayuran hijau, susu segar dan sebagainya. Susu segar, ikan laut, daging lembu adalah contoh bahan makanan yang bukan sahaja mengandungi vitamin A yang diperlukan mata, tetapi juga terkandung di dalamnya vitamin B2 atau dipanggil dengan istilah riboflavin. Vitamin B2 berfungsi sama sepertimana vitamin A. Jadi, di sini jelaslah bahawa seseorang itu bukan sahaja perlu pada makanan yang bervitamin A tetapi juga bahan-bahan yang mengandungi vitamin B2. Orang yang mengamalkan pemakanan sayuran hijau yang segar menurut kajian Sains kesihatan sentiasa mempunyai mata yang sihat.

2. Mengatasi masalah jangkitan

Sebenarnya manusia sentiasa terdedah pada kuman dalam menjalani kehidupan seharian. Di manapun dia berada atau bekerja, gangguan jangkitan kuman pasti ada.  Sekiranya kita kurang memberi tumpuan kepada kebersihan diri, organ-organ sensitif seperti mata sangat mudah terkena jangkitan kuman. Mungkin mata itu dijangkiti virus, bakteria, parasit dan akibatnya mata seseorang itu akan mengalami radang dan kelopak mata menjadi merah dan berkeadaan sembab. Jangkitan mata mudah merebak kepada orang lain melalui udara, malah jangkitan kuman mata juga akan tersebar luas apabila si pesakit berkongsi kolam renang. Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, biasakan diri untuk mandi dan menjaga kebersihan tubuh badan dengan sempurna dan jika seseorang itu telahpun terkena jangkitan kuman pada mata, elakkan berkongsi kolam renang.

3. Mengatasi kepenatan

Keadaan tubuh badan yang penat setelah melakukan aktiviti bekerja seharian juga boleh menjadi penyebab kepada gangguan kesihatan mata. Sebenarnya, fungsi mata banyak melibatkan aktiviti pergerakan otot-otot. Otot-otot itu bertindak menggerakkan biji mata dan mengawal pembesaran atau pengecilan kanta untuk melihat jarak jauh atau dekat.

Dalam hal ini, jika mata terlalu sering digunakan untuk melihat jarak dekat dalam jangka masa yang lama, misalnya semasa menonton televisyen, membaca buku, menghadap skrin komputer dan sebagainya akan menyebabkan otot-otot mata kita memerlukan lebih tenaga. Jika keadaan itu berterusan, lama-kelamaan kekuatannya semakin berkurang dan mengganggu kesihatan. Ini kerana mata berada dalam keletihan. Justeru, kita sewajar berjaga-jaga agar jangan terlalu lama menghadap televisyen terutama dari jarak dekat atau menatap tulisan pada akhbar atau buku terlalu rapat dengan mata. Elakkan membaca sambil baring, dalam kenderaan sedang bergerak atau di bawah sinaran matahari yang terang kerana ia boleh memberi kesan kepada mata.

4. Mengatasi kemasukan benda asing

Mata kita akan menjadi berair apabila hadirnya benda-benda asing seperti habuk atau objek kecil. Jika mata dimasuki benda asing, jangan menggosok mata itu kerana dikhuatiri akan menyebabkan benda asing itu masuk lebih dalam dan mencederakannya. Titiskan air untuk mengalirkan keluar benda asing itu dan jika asih berasa sakit disebabkan benda asing belum keluar, segera berjumpa doktor untuk mendapat rawatan. Pencegahannya, pesakit hendaklah mengelakkan berada atau melalui kawasan berdebu atau kawasan pembinaan. Ini kerana kawasan-kawasan itu penuh dengan habuk dan objek kecil yang berterbangan yang boleh masuk ke dalam mata kita.

Demikian beberapa petua penjagaan kesihatan mata. Ingat, mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya. Kata pujangga lama, ‘Penyakit datang dengan menunggang kuda, tetapi  pergi dengan berjalan kaki.’ Kata seorang tokoh Barat terkenal, Ovid, ‘Sedar akan adanya penyakit bukanlah bererti menghilangkannya. Penyakit hanya dapat dihilangkan dengan kecerdasan.’

Hakikatnya,seseorang itu mestilah menjaga kebersihan diri agar terjaga dan terpeliharaan kesihatan tubuh-badan. Tubuh badan yang segar dan sihat akan memudahkan kita melakukan ibadah dan membuat aktiviti pekerjaan seharian. Kata peribahasa Melayu, ‘Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.’

Tentang soal menjaga kebersihan ini umat Islam ada dipesan oleh Nabi saw yang bermaksud, “kebersihan adalah sebahagian daripada iman.” Kata sarjana Barat terkemuka, Bernard Shaw pula, “Lebih baik pelihara dirimu supaya bersih dan cemerlang, anda adalah jendela di mana anda perlu melihat dunia.”

Islam amat menekankan soal menjaga kebersihan ini. Allah berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 108 yang bermaksud,  “Dan Allah mengasihi orang-orang yang bersih.” Maksud ayat ini bukan sahaja tertakluk kepada aspek kebersihan akidah daripada sebarang unsur-unsur yang syirik dan khurafat, malah juga merangkumi juga elemen kebersihan rohani dan jasmani.

Dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda yang bermaksud, “Jagalah kebersihan dengan segala yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidak masuk syurga kecuali orang-orang yang menjaga kebersihan.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

    

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0