Kesan Makanan Terhadap Pembentukan Sahsiah

Seorang muslim yang membesar dengan darah daging yang terhasil daripada makanan yang halal, berkualiti serta didapati pula melalui usaha yang halal di sisi Allah akan membentuk seorang manusia yang sempurna sama ada di mata manusia mahupun di sisi yang Maha Esa.

Ia terhasil dari nilai keberkatan yang dikurnai Allah dalam setiap rezeki tersebut dan begitulah sebaliknya. Antara kesan makanan kepada pembentukan sahsiah ialah:

1.  Mempertingkatkan nilai keimanan dan ketakwaan

Islam mementingkan pemakanan yang baik bagi umatnya kerana kehidupan mereka di muka bumi ini disertai dengan kewajiban dan tugas sebagai khalifah-Nya. Dengan memiliki kesihatan yang baik, manusia muslim itu  mampu menunaikan segala ibadah, bekerja, menuntut ilmu dan lain-lain dengan sebaik mungkin. Gangguan akibat terjejasnya kesihatan menjadikan kualiti ibadah serta nilai ketakwaan muslim di sisi Allah SWT turut berkurangan sedangkan pembentukan sahsiah yang baik bermula dengan ilmu, iman dan amal yang sempurna kepada Allah SWT.

Mana mungkin seseorang itu dapat mempertingkatkan nilai keimanan dan ketakwaan dengan amalan-amalan kebaikan yang dikerjakannya, sekiranya jasmaninya tidak sihat, ditambah lagi apabila makanan dan minuman yang diambil pula adalah  tidak halal dan tidak baik

2. Akhlak yang baik

Makanan dan minuman yang diambil akan turut mempengaruhi tabiat atau kelakuan seseorang itu sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan. Apabila ia mengambil makanan dan  minuman yang halal, baik dan berkhasiat, ia menjadi manusia yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Apabila ia  mengambil makanan dan minuman yang haram, syubhah dan kotor, akan menjadikan hatinya lalai, sakit, beku dan mati. Oleh itu mudahlah kepadanya melakukan kejahatan.

Punca penyakit hati juga datangnya dari pengaruh hawa nafsu yang berlebihan. Islam menegah manusia makan makanan yang boleh meningkatkan nafsu syahwat sehingga tidak dapat dikawal. Apabila penyakit rohani tidak dapat dikawal, maka penyakit jasmani akan mudah singgah. Pakar kesihatan umumnya sependapat bahawa penyakit rohani boleh mengakibatkan kerosakan pada jantung, saraf, tekanan darah (hypertension), sesak nafas dan ‘stress’.

Seorang ahli perubatan Islam Thabit ibn. Qurrah pernah menyatakan, “Sejahteranya tubuh itu adalah mengurangkan makanan, sejahteranya jiwa itu adalah mengurangkan dosa dan sejahteranya lisan itu adalah kurangnya bercakap.

Kenyataan ini diakui dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Ketahuilah di dalam jasad manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah jasad seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Itulah yang dikatakan hati”- Riwayat Bukhari dan Muslim

Di samping itu, Islam melarang mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh menjadi malas, gelap hati dan kurang daya ingatan.

3. Memelihara kesihatan tubuh badan (jasmani)

Makanan dan minuman yang halal, baik dan berkhasiat juga mempengaruhi proses pembesaran dan kesihatan jasmani manusia. Ini disebabkan dari pemakanan akan menjadi darah daging yang membekalkan tenaga, membantu pertumbuhan tisu-tisu yang baru serta membaiki tisu yang rosak. Ini memudahkan seseorang mengerjakan ibadah, bekerja mencari rezeki, bersukan mahupun melakukan aktiviti hariannya dengan sempurna.

Telah terbukti banyak penyakit yang timbul dewasa ini berpunca dari makanan yang tidak seimbang. Pakar pemakanan berpendapat bahawa kuantiti pengambilan makanan bergantung kepada faktor usia, jantina dan bidang pekerjaan. Mereka juga bersetuju sekiranya kuantiti makanan diambil secara berlebihan misalnya glukos, karbohidrat, lemak, kolestrol, sodium, potassium, fosfat atau kalsium boleh mengundang pelbagai penyakit seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, cirit-birit, obesiti, keracunan makanan dan lain-lain penyakit kronik.

Ajaran al-Quran dan amalan gaya hidup sihat Rasulullah saw adalah langkah yang terbaik untuk menjaga kesihatan jasmani dan rohani. Rasulullah saw juga menitikberatkan adab-adab ketika maka, antaranya ialah:

1.  Membaca doa sebelum dan sesudah makan.

2.  Makan dengan tangan kanan dan dahulukan makanan yang berhampiran

3.  Duduk dengan betul, tidak berjalan, berlari, mengiring atau baring sewaktu makan

4.  Elakkan tidur selepas makan kerana ia boleh melambatkan proses penghadaman

5.  Minum dengan perlahan-lahan dengan tiga kali teguk atau nafas

6.  Mengunyah makanan perlahan-lahan. Rasulullah mengunyah makanan baginda sebanyak empat puluh kali

7.  Makan sekadar yang perlu tidak berlebihan

8.  Menjilat tiga jari selepas makan

9.  Tidak meninggalkan makan malam walaupun dengan segenggam kurma.

Kesihatan rohani juga berkait rapat dengan kesihatan jasmani misalnya jiwa yang dihiasi dengan sifat-sifat mazmumah menjadikan seseorang individu itu kelihatan tidak bermaya, letih-lesu, tidak bersemangat, tidak tenteram, bersikap perimis, mudah naik marah dan putus asa atau berkecamuk fikiran yang mana boleh menggugat kesihatan fizikal.

Cara pemakanan yang kurang teratur dan stabil adalah punca utama penyakit sepertimana pepatah Arab  mengatakan; perut adalah punca penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu penawarnya.

Perhatikan pula nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya: Wahai anakku, apabila perutmu telah penuh tepu dengan makanan, tidurlah fikiranmu, kelulah hikmah (kebijaksanaan) dan berhentilah (malaslah) segala anggotamu dari beribadat kepada Allah dan hilanglah kesucian hati (jiwa) dan kehalusan pengertian yang dengan keduanyalah dipelorehi kelazatan  munajat  dan berbekasnya zikir pada jiwa.

Dalam al-Quran Allah S.W.T menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah dan janganlah kamu melampaui batas.”- Al-A ‘raf, 7: 31

Amalan pemakanan yang berlebihan dan tidak teratur boleh memudaratkan tubuh badan.  Salah satu kaedah penjagaan kesihatan akui diet yang baik ialah dengan berpuasa di mana Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah, nescaya kamu sihat.”- Riwayat Muslim

Rasulullah saw  bersabda lagi yang bermaksud: “Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan, tidak sampai kekenyangan.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Melalui riwayat Ibn. Majah, Nabi saw bersabda lagi  yang bermaksud: “Sesungguhnya termasuk pemborosan bila kamu makan apa sahaja kamu bernafsu memakannya.”

Islam melarang umatnya mengambil makanan yang haram atau dari sumber yang kotor dan haram misalnya dalam hadis baginda yang bermaksud: “Rasulullah melarang memakan daging dan susu binatang yang memakan kekotoran.” – Riwayat al-Tirmizi

Menurut pakar pemakanan, makanan diet yang baik ialah yang ringan atau sederhana seperti nasi, roti gandum, susu segar dan lain-lain yang berkhasiat. Elakkan makan terlalu kenyang dan berlebihan khususnya ketika makan malam. Makanan yang dimakan itu juga hendaklah dikunyah sehingga lumat, barulah ditelan. Jaga adab dan kebersihan diri sewaktu makan seperti amalan Rasulullah saw.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0