Hikmah Sedekah Dalam Membangunkan Masyarakat

Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterakan kehidupan kita. Bersedekahlah walaupun sedikit dengan seikhlasnya  kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Sedekah seikhlasnya bukan sahaja mampu meringankan beban seseorang hamba malah dapat memperoleh ganjaran pahala.

Segelintir masyarakat sering mempersoalkan tentang halal atau haram untuk menerima sedekah daripada mereka yang bukan beragama Islam. Apakah hukumnya seorang Muslim menerima sumbangan daripada mereka yang bukan beragama Islam? Dalil sahih ada menjelaskan bahawa Rasulullah saw juga pernah menerima hadiah daripada mereka yang bukan beragama Islam.

Ali bin Abi Talib ra meriwayatkan, bahawa Kisra [Raja Persia] pernah memberi hadiah kepada Rasulullah saw lalu baginda menerimanya. Para raja (al-muluuk) juga memberi hadiah kepada baginda saw lalu baginda menerimanya. (HR Ahmad dan At-Tirmidzi, dan dinilai hadis hasan oleh Imam At-Tirmidzi) (Imam Syaukani,Nailul Authar, hal. 1172).

Rasulullah saw pernah menerima hadiah daripada para raja yang bukan beragama Islam. Antara lain, daripada Raja Dzi Yazan (HR Abu Dawud), daripada Akidar pemimpin Dumatul Jandal (HR Bukhari dan Muslim), daripada Farwah al-Judzamiy (HR Muslim), dan sebagainya. (Imam Syaukani, ibid.)

Selain hadis-hadis tersebut, kebolehannya juga didasarkan kepada hukum umum bolehnya muslim bermuamalah dengan bukan Islam. Nabi saw pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi. Berdasarkan hadis ini, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata, “Dalam hadis ini ada kebolehan bermuamalah dengan mereka [non muslim]…” (Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Ahkam Ahl Adz-Dzimmah, Juz I hal. 204).

Hadis-hadis ini menunjukkan bolehnya seorang Muslim menerima sumbangan daripada mereka yang bukan beragama Islam. Oleh itu dibolehkan misalnya, kita menerima sumbangan daripada mereka yang bukan beragama Islam sama ada berupa wang, baju, ubat-ubatan, makanan, atau minuman untuk kemudian disalurkan kepada kaum muslimin yang menjadi korban bencana alam.

Pemilik Global Excursion,  Cik Jaswin Kaur, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan wanita, turut mengambil inisiatif membantu anak-anak yatim Muslim yang memerlukan. Keprihatinan dan kesedaran ternyata melewati batas perbezaan kaum dan agama.

Moga usaha beliau menjadi contoh untuk kita sama-sama memperkukuhkan budaya bersedekah dalam amalam kehidupan seharian kita. Secara umumnya, dengan bersedekah kita juga dapat mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat tanpa mengira agama. ‘Sesungguhnya tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima’.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0