Cara Hindari Curang

Dalam dunia moden hari ini sudah terlalu banyak kes kecurangan rumah tangga. Suami curang dengan isteri begitu juga sebaliknya. Curang menyebabkan hubungan suami isteri renggang bahkan berdosa besar jika membawa sehingga kepada zina. Sekiranya seseorang itu tidak bertaubat nasuha maka akan berulang lagi kecurangannya. Sebelum berlaku kecurangan yang seterusnya, perluah diketahui bagaimana cara untuk menghindarinya. Iman yang lemah mudah tergelincir dengan nafsu yang dibisikkan oleh syaitan dan iblis.

Seorang muslim yang baik akan mengelakkan dan menjauhi perkara yang terkutuk ini kerana keseronokan sementara ini akan membawa kemusnahan kepada institusi kekeluargaan. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Lihatlah keadaan di sekeliling kita dan selalu kita baca dalam akhbar. Pelbagai cerita yang memalukan seperti kes ditangkap khalwat. Di dalam rumah sendiri pun berlaku kes ketika  suami keluar bekerja, isteri ditangkap sedang berkasih dengan jiran.  Isteri orang dengan suami orang. Suami dengan teman sepejabat dan bermacam kejadian lagi.

Semua kisah-kisah begini sudah menjadi lali dan tidak dikisahkan lagi oleh segelintir masyarakat kita. Seorang suami atau isteri yang pernah berlaku curang kepada pasangannya dan tidak pernah bertaubat boleh diibaratkan seperti seekor anjing. Anjing kalau pernah makan tahi, kalau tak makan tahi mesti mahu cium bau tahi itu juga.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasululah saw ditanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Wanita mengkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (riwayat al-Bukhari)

Meskipun tidak mahu perkara ini berlaku namun hal yang sebaliknya boleh berlaku sekiranya suami isteri lemah dalam menghadapi godaan. Lebih memburukkan lagi jika pasangan iaitu isteri sendiri memberikan peluang atau memberikan suatu persekitaran untuk menyebabkan berlakunya kecurangan. Jadi bagaimana hendak mengelakkan pasangan anda berlaku curang, berikut adalah tips yg mesti diketahui oleh setiap isteri mahupun suami.

Selalu berpenampilan menarik

Setelah menjalani alam rumah tangga bertahun-tahun, penampilan diri selalunya diabaikan. Keinginan untuk menarik perhatian pasangan pun semakin pupus. Namun begitu bila berada di luar seperti di tempat kerja, penampilan kita selalunya berbeza.

Kita cukup mengambil berat soal penampilan bila berhadapan dengan orang lain terutamanya jika ada yang memuji. Puji-pujian ini merupakan salah satu punca yang memungkinkan berlakunya kecurangan.

Kehidupan seks yang sihat

Memenuhi keperluan seks pasangan sangat penting untuk menjaga perkahwinan tetap utuh. Banyak kes penceraian atau perkahwinan runtuh akibat masalah seks suami isteri. Jika anda menghadapi masalah yang berkaitan dengannya, berusahalah untuk mengatasinya secepat yang mungkin.

Persamaan

Bernikahlah dengan lelaki atau pasangan yang anda rasa sama dengan anda. Sama dalam erti, sama menariknya, berpendidikan setara dan memiliki pendapatan yang hampir sama. Percaya atau tidak, persamaan yang banyak antara suami isteri dapat mengecilkan kecenderungan untuk berlakunya kecurangan.

Waspada

Jika anda mengesan pasangan anda berlaku curang, jangan ragu untuk menyiasatnya. Kecurangan akan berlangsung lebih lama jika pasangan anda berasa senang dan jauh dari jangkauan anda. Jangan biarkan perkara ini berlaku dalam perkahwinan anda.

Waktu hanya berdua

Ada pasangan menganggap perkara ini sebagai perkara remeh-temeh. Waktu romantis hanya untuk anda berdua sekurang-kurangnya seminggu sekali cukup penting untuk membuatkan hubungan suami isteri bertambah erat.

Mencari kaunselor

Jangan ragu untuk mendapat khidmat daripada kaunselor ataupun orang tengah sekiranya merasakan hubungan anda menghadapi masalah atau ada masalah yang sukar untuk diatasi. Kebun bunga tidak akan nampak segar dan indah tanpa disiram dan dipupuk.

Begitu juga dengan perkahwinan. Jika bukan anda berdua yang bersikap proaktif dalam menjaga keutuhan rumah tangga, siapa lagi yang anda harapkan?

Menghargai pasangan

Hargailah pasangan, kerana penghargaan akan dibalas dengan kesetiaan. Ucaplah terima kasih setiap kali pasangan membantu anda. Sekali sekala berilah hadiah buat suami ataupun isteri sebagai tanda anda menghargai apa yang dilakukan.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0