Teori Big Bang: Asal Kejadian Alam

Oleh: Khadijah binti Ismail (Pengajar Falak di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

Teringat saya ketika masih belajar, mengikuti satu kuliah dalam program cerapan malam. Encik Shahrin, seorang amatur astronomi memberi kuliah tentang langit malam. “Cuba kamu lihat ke arah langit, ada bintang kan? Cuba kamu perhatikan satu bintang di langit yang ini (sambil menunjukkan ke arah komputernya yang mempunyai perisian astronomi). Ini satu bintang? “Ya” jawab kami. “Oh, bukan. Ini bukan satu bintang, malah gugusan-gugusan bintang, cuba kamu lihat,” sambil ditekannya perisian tersebut.

Rupa-rupanya, apabila kita melihat dari bumi, andaian sebutir bintang, sebenarnya adalah gugusan bintang, ribuan malah jutaan bintang yang jauh, nampak seolah-olah bercantum menjadi satu kelihatan dari bumi.

“Cuba kamu lihat lagi, bintang dalam ribuan bintang-bintang ini.” Sambil ditekannya bintang tersebut. “Waaah!” Kami bersuara. Rupa-rupanya, ‘bintang’ tersebut adalah satu galaksi berbentuk ‘spiral’. Kami rasakan dunia (bumi) yang kami duduk ini kecil sekali dek kerana melihat perisian komputer tersebut semacam berada di angkasa. Apabila kita melihat jauh ke atas, kita melihat ada lagi, dan ada lagi, dan ada lagi pelbagai bintang, galaksi di atas sana. Semakin melihat ke hadapan, terasa semakin kerdilnya bumi.

Allah menjadikan kita di alam ini sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya, memberi kita ruang untuk terus berfikir tentang keEsaan-Nya. Manusia sentiasa mencari erti kebenaran dan salah satunya adalah mencari asal usul alam ini. Apabila ayat-ayat al-Quran berhubung kejadian langit dan bumi ini dikaitkan dengan penemuan semasa, kita akan mengagumi ayat-ayat ini kerana ia menceritakan tentang fasa-fasa kejadian langit dan bumi secara sistematik. Justeru, Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “Memang jelas sekali al-Quran menetapkan penciptaan galaksi-galaksi (di langit) berlaku terlebih dahulu daripada bumi. Ini merupakan sebahagian daripada mukjizat yang menunjukkan bahawa al-Quran datang daripada Allah.”

Penciptaan alam semesta diterangkan oleh ahli astro-fizik (fizik angkasa) sebagai satu fenomena yang diterima ramai dan dikenali sebagai “Big Bang”. Ia disokong oleh data yang diperoleh daripada pemerhatian dan eksperimen oleh ahli astronomi dan ahli astro-fizik sejak berdekad-dekad lamanya. Menurut ‘Big Bang’, seluruh alam semesta pada asalnya ialah satu jisim yang besar (Nebula Asas). Kemudian terjadi ‘Big Bang’ (Pemisahan Kedua) yang menghasilkan galaksi-galaksi. Ia kemudiannya berpecah-pecah lagi untuk menjadi bintang, planet, matahari, bulan dan lain-lain. Asal penciptaan alam semesta ini memang unik dan kemungkinan untuk ia terjadi secara tidak sengaja adalah sifar. Al-Quran mengandungi ayat berikut, berkenaan asal kejadian alam semesta: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?” (surah Al-Anbiyaa´: 30) Persamaan di antara ayat Al-Quran dengan teori Big Bang tidak dapat dinafikan lagi.

Teori big bang ini disokong dengan bukti jelas secara empirikal setelah wujudnya teknologi teleskop yang canggih dan data satelit seperti COBE, Teleskop Hubble dan WMAP. Cerapan yang lebih terperinci tentang perubahan dan taburan galaksi dan kuasar memberikan bukti kukuh tentang Letupan Besar (Big Bang). Gabungan cerapan dan teori mencadangkan yang kuasar dan galaksi pertama terbentuk kira-kira sebilion tahun selepas Letupan Besar dan sejak itu, struktur lebih besar terbentuk seperti gugusan galaksi dan gugusan super atau mega gumpalan galaksi.

Tidak salah untuk mempercayai bahawa bumi ini diwujudkan oleh Allah hasil dari letupan dahsyat atau dikenali sebagai BIG BANG, kerana Allah berkuasa melakukan segala-galanya. Jadi, maka jadilah. Jika diperhalusi, teras bumi kita masih lagi panas dan cair, menyerupai lahar gunung berapi atau lebih tepat seperti cairan logam dan gas yang terbakar di permukaan matahari.

Menurut teori “big bang” juga, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlakulah satu letupan yang kuat (cosmix explotion) 10 hingga 20 bilion tahun yang lampau, yang dinamakan “big bang”. Sejak itu berlakulah pengembangan dan penyejukan (expending and cooling) sehingga akhirnya lahirlah bintang-bintang, galaksi dan seumpamanya. Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian, pada tahun 1922, seorang pakar fizik Rusia, Alexandar Friedmann mengembang dan mengukuhkan lagi teori ini. Pada tahun 1929, Edwin Hubble menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori “big bang”. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau mendapati alam ini sedang mengembang.

Penemuan sains pada hari ini mengesahkan pada peringkat awal kejadian alam, selepas berlaku kejadian big bang, alam semesta dalam keadaan gelap gelita. Selepas itu baru datang cahaya terang benderang. Hal ini telah terbukti oleh NASA. “Para saintis NASA berjaya mengesan cahaya yang mungkin datang daripada objek pertama yang lahir selepas berlakunya Bing Bang lebih kurang 13 billion tahun dahulu. Pertemuan ini berjaya dilakukan dengan menggunakan Spitzer Space Telescope. Selepas bahang Big Bang reda, alam semesta berada dalam keadaan gelap gelita berjuta-juta tahun lamanya sebelum lahirnya objek yang bercahaya ini.” (akhbar NASA, Scientists See Light that May Be From first Objects in Universe, 2 November 2005).

Segala yang benar hanyalah dari Allah yang Maha Mengetahui.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *