Sayangi Diri, Hargai Diri

Dalam isu yang lepas saya ada membincangkan tentang kenali diri supaya kita akan lebih menghargai dan menyayangi diri. Bila kita menyayangi diri kita maka sudah pasti kita tidak akan melakukan sesuatu yang menyakitkan diri kita. Perasan atau tidak, hatta dalam keadaan kita tidak sedar atau secara refleksnya, anggota badan kita akan mengelakkan diri daripada sesuatu yang menyakitkan. Bermakna secara fitrahnya kita tidak suka sesuatu yang menyakitkan diri kita.

Suatu hari saya berceramah di satu sekolah di Lembah Klang tentang sayangi diri.  Topik sayangi diri ini menjadi perbincangan hangat di kalangan peserta yang terdiri daripada pemimpin pelajar. Semasa tengah berceramah, seorang pelajar bertanya “abang Fadzli, macam mana nak sayang diri?  Kalau nak sayang awek tu senang lah kan… ”  sambil disambut gelak ketawa pelajar-pelajar lain.  “Aih, macam dah gatal bunyinya…” sambut saya.

Sayangi diri ini perlu dalam kehidupan sebagai insan sepertimana kita juga menyayangi orang lain.  Saya yakin anda pernah dengar ungkapan ini “ mana orang nak sayang kita kalau kita tak sayang diri? ”  Asas perasaan sayang adalah pada diri barulah dapat kita sayang orang lain. Sayang tak semestinya diungkapkan tetapi dizahirkan melalui tindakan kita, perbuatan kita, reaksi serta respon kita.

Kenapa kita perlu sayang diri kita?  Baik, kalau kita sayang seseorang, apa yang kita lakukan kepada orang yang kita sayang?  Sudah pasti kita ingin melakukan yang terbaik untuknya, gembirakannya, memberikan segalanya yang terbaik.  Begitu juga dengan diri kita.  Bila kita sayang diri kita, kita elakkan daripada melakukan perkara yang menyakitkan diri kita, seperti contoh maksiat.  Maksiat memang seronok dan indah di pandangan nafsu, ibarat syurga dunia. Mana sakitnya? Sakitnya apabila diazab nanti atas maksiat kita, itulah sakit yang pasti untuk pembuat maksiat. Jadi kalau sayang diri, maka elakkanlah. Bila kita sayang diri maka kita akan lebih menghargai diri kita, menghargai apa yang ada pada diri kita. Dengan menyayangi diri, kita akan mengelakkan daripada perkara-perkara yang boleh membinasakan dan merosakkan diri.

Kalau kita lihat hari ini, ramai orang tidak sayangkan diri, bahkan lebih sayangkan orang tanpa ada batasan. Contoh? Contohnya orang yang bunuh diri sebab putus cinta. Berapa ramai yang bunuh diri?  Apa yang dia dapat selepas bunuh diri?  Bukan setakat dia tidak dapat apa-apa, bahkan orang yang menyebabkan dia bunuh diri tidak boleh berbuat apa-apap sebab dia dah meninggal. Kembali semula pun sudah tidak boleh. Tambahan lagi dapat dosa besar. Rugi  serugi-ruginya.

“ Abang Fadzli, memang saya nak sayangi diri saya, tapi macam mana? ” Di sini ada beberapa tips untuk kita menyayangi diri kita tanpa melampaui batasan. Ikuti langkah berikut:

Kenal kelebihan dan kekuatan diri

Diam dan merenung kembali sejarah diri, ingat kembali apa yang telah dilakukan, muhasabah kembali tentang kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri serta memperbaikinya.  Dengan mengenal kelebihan dan kekuatan diri, kita akan jadi lebih bersyukur dan lebih menghargai diri kita.

Memberi penghargaan pada diri

Kadang-kadang kita berusaha untuk melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan bak kata ikrar pengakap, “buat sehabis baik” dan mengharapkan orang menghargai semua usaha kita tetapi yang sedihnya tiada orang memandang dan menghargai usaha kita.  Sebenarnya kita tidak perlu mengharapkan penghargaan daripada orang lain tetapi yang paling penting adalah kita menghargai usaha kita.  Percaya atau tidak, sekiranya saya katakan kita seharusnya memberikan ganjaran kepada diri kita setelah kita melakukan usaha yang terbaik untuk sesuatu pekerjaan?  Sebagai contoh, saya suka makan aiskrim Baskin Robin tetapi jarang menikmatnya disebabkan oleh harganya yang sedikit mahal.  Jadi setelah berjaya atau berpuas hati atas satu usaha yang bersungguh, saya patut menikmati aiskrim tersebut sebagai ganjaran untuk diri saya. Tetapi biarlah dalam kemampuan kita yer, jangan bagi ganjaran yang tak mampu pula.

Percaya pada diri

Bolehkah kita sayang orang yang kita tidak percaya? Mungkinkah?  Percaya dan sayang ini saling bergandingan. Begitu juga dengan diri kita. Seharusnya kita percaya akan diri kita, kemampuan kita, kebolehan kita, apa yang ada pada kita sebelum orang lain mempercayainya.  Bagaimana kita mahu orang percayakan kita sedangkan kita tidak yakin dengan diri sendiri?  Oleh sebab itu kita mesti percaya pada diri, kena ada keyakinan atas setiap perkara yang kita lakukan selagi ia tidak menyalahi syariat, melanggar undang-undang dan tidak menderhaka kepada orang tua.

Bagaimanapun ada kalanya kepercayaan pada diri ini akan diuji oleh Allah bilamana semua perkara yang kita lakukan menjadi serba tak kena.  Sebab itu sebagai manusia kita tidak boleh sombong dengan Pencipta Yang Maha Kuasa walaupun kita diberi kelebihan dalam beberapa perkara berbanding orang lain.  Percaya pada diri ini perlu disandarkan kepada Allah, barulah walaupun sesuatu perkara itu berlaku di luar perancangan kita atau tidak seperti kita harapkan, kita tidak akan terlalu kecewa kerana yakin akan hikmah dari-NYA.

Memaafkan diri

Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Setiap daripada kita pasti pernah melakukan kesilapan sama ada yang besar mahupun kecil.  Usah terlalu menghukum diri kita. Belajarlah daripada kesilapan.  Memaafkan diri memerlukan masa tetapi tidak perlu terlalu meratapi kesilapan lalu sehingga tidak mampu melihat jalan di hadapan.  Kalau kita tidak memaafkan kesilapan diri kita, tak perlu mengharapkan kemaafan orang lain.

Untuk memperbaiki keadaan, kita perlu menyedari kesilapan, memaafkan diri kita, memohon maaf pada pihak lain, serta mengubah keadaan tersebut berdasarkan kemampuan kita. Jangan ego untuk tidak mengakui kesilapan kerana asas kemaafan adalah menyedari dan mengakui kesilapan. Kemudian barulah disertai dengan mohon kemaafan serta taubat pada Yang Esa.

Tidak terlalu membandingkan diri dengan orang lain

Setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan kemahiran yang tersendiri. Setiap daripada kita juga adalah unik dan tidak sama walaupun serupa. Macam mana tu?  Contohnya, walaupun kembar seiras, tetap tidak sama seratus peratus dan ada perbezaan yang tersendiri. Oleh itu, jangan terlalu membandingkan diri kita dengan orang lain.  Kenapa kita hendak beri tekanan kepada diri  dengan membuat perbandingan yang tidak perlu. Apa yang perlu kita lakukan adalah menggilap lagi kemahiran dan potensi yang kita ada.

Tetapi dalam masa yang sama, kita perlu bersaing dalam kehidupan. Hatta dalam Islam kita disuruh berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan.  Senang kata, biarlah bersederhana dalam membandingkan diri kita dengan orang lain dan biarlah perbandingan yang kita buat itu menjadi motivasi buat kita dalam menjadi insan yang lebih baik, bukan melemahkan dan menggoyahkan kita.

Memberi yang terbaik untuk diri

Pernahkah kita kata, “aku kalau buat sungguh-sungguh, mesti aku dapat macam dia juga” atau “ aku sebenarnya kalau aku buat awal-awal hari tu, aku boleh dapat lebih baik daripada sekarang, tapi sebab aku sibuk, biar je lah….”  Persoalannya, pernah tak kita buat seperti mana yang kita katakan setelah perkara tersebut selesai? Kita tidak melakukan sepertimana yang kita katakan semasa kita menyesal dahulu pada perkara yang akan datang.

Berilah yang terbaik untuk diri kita. Buatlah yang terbaik untuk diri kita. Rasailah nikmat kejayaan setelah usaha yang berterusan dengan penuh kesungguhan. Bukannya nikmat kejayaan yang mungkin terhasil daripada kebetulan yang tidak disangka dengan usaha yang sedikit. Mungkin itu rezeki Allah untuk kita tetapi pastikah kita kejayaan yang sama akan berulang dengan usaha yang sama? Sayangi diri dengan memberikan yang terbaik buat diri dalam apa jua perkara yang kita lakukan termasuklah dalam ibadah dan kehidupan seharian kita.

Menjadi Muslim yang sejati

Yang paling utama dalam menyayangi diri ini adalah dengan menjadi muslim sejati yang mengamalkan apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang dilarang. Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini ada balasannya dan akan dipersoal kelak.  Balasan yang buruk untuk amal yang buruk walaupun sebesar zarah dan begitu juga dengan amal yang baik.  Setiap tingkah laku kita Allah pasti melihatnya.

Sayangi diri kita dengan tidak melakukan perkara yang Allah murka kerana setiap tindakan kita ada balasannya. Apa yang Islam suruh dan larang adalah perkara yang mengandungi kebaikan serta hikamahnya yang tersendiri.  Kita akan menjadi orang yang bukan sahaja dipandang Allah tetapi juga oleh manusia. Masyarakat akan menghormati dan menyayangi diri kita hasil daripada kita menyayangi diri dengan menjadi muslim sejati.

Wallahua’alam

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *