AWAS! Anak meniru perlakuan kita

Suatu hari Abdullah bin Amir yang masih kanak-kanak dipanggil oleh ibunya. Saat itu Rasulullah saw berada di rumahnya. Ibunya berkata: “Wahai Abdullah! Mari ke sini, ibu hendak berikan sesuatu padamu.” Mendengar kata-kata ibu Abdullah itu Rasulullah bertanya: “Apa yang puan mahu berikan kepada Abdullah?” Maka jawab ibu Abdullah: “Aku mahu berikan kepadanya sedikit kurma.” Lantas Rasulullah saw pun bersabda: “Ingat, jika puan tidak berikan sesuatu kepadanya, maka puan akan dikira berbohong.”

Nah, lihatlah betapa telitinya Rasulullah saw tentang pendidikan melalui teladan. Baginda mahu pastikan si ibu itu tidak berbohong kepada anaknya – walaupun bohong itu mungkin dengan niat yang baik. Baginda cukup peka dengan naluri anak-anak. Secara semula jadi anak-anak akan terpengaruh dengan perbuatan ibu bapa. Jika si ibu berbohong, anak-anak mentafsirkan perbuatan bohong itu sebagai satu perbuatan yang baik dan wajar dilakukan.

‘Cakap serupa bikin’

Kadang-kadang ibu bapa mengeluh tentang anak-anaknya yang degil dan susah mendengar kata. Ada yang malas belajar, banyak menonton televisyen, terlalu banyak membazir masa dengan bermain, susah untuk bangun bersolat dan seumpamanya. Hakikatnya, perilaku anak-anak ini tidak berlaku secara tiba-tiba begitu sahaja. Ia melalui proses panjang, yang sebahagiannya hasil daripada pemerhatian mereka terhadap perilaku ibu bapa.

Jika ibu bapa tidak pernah membaca buku di rumah, janganlah hairan jika anak liat untuk belajar. Begitu juga jika bapa hantu bola di depan televisyen dan ibu peminat setia drama bersiri, jangan terkejut jika anak-anak taksub dengan Naruto, Doreamon atau Boboiboy. Jika ibu bapa pun kerap melewat-lewatkan solat, maka anak-anak pun biasanya gagal menjadi anak yang tekun bersolat.

Pada peringkat ini, kata-kata nasihat, leteran dan suruhan sudah tumpul kesannya. Katalah apa sekali pun, anak-anak sudah tidak endahkan lagi. Ini kerana, dalam fikiran mereka terpahat kukuh memori tentang perilaku ibu bapa mereka yang buat kesalahan sama seperti mereka. Bahkan anak-anak rasa mereka lebih baik sebab tidak ‘cakap tak serupa bikin’.

Dalam hal larangan merokok umpamanya, nasihat daripada bapa atau ibu yang merokok tiada sebarang makna kepada anak-anak. Mungkin si bapa cuba meyakinkan anak itu tentang bahaya rokok, iaitu betapa rokok itu ibarat membunuh diri secara perlahan-lahan, atau betapa rokok itu menghabiskan wang ibarat membakar wang setiap hari, atau betapa rokok itu merosak dan menghitamkan paru-paru serta membusukkan nafas. Namun jika bapa itu sendiri perokok, kata-kata itu tiada sebarang nilai.

Dalam hal ini kita perlu diingatkan kembali dengan amaran keras dari Allah kepada orang yang hanya pandai berbicara baik tetapi gagal mempraktikkan sendiri apa yang dibicarakan. Allah telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu berkata apa yang kamu tidak laksanakan? Sangatlah besar dosanya di sisi Allah, jika kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak melakukan.”

Amaran ini bukan untuk melemahkan semangat ibu bapa untuk menasihati dan menegur anak-anak, namun ia adalah pedoman agar ibu bapa sendiri perlu melipatgandakan usaha bagi menunjukkan contoh teladan yang baik dan berusaha untuk melaksanakan apa yang disuruh atau dinasihati. Jika ibu bapa tidak mampu memberikan nasihat dan pengajaran yang baik, maka wajib pula ke atasnya untuk mendapatkan guru yang mursyid dan mampu mempamerkan akhlak mulia yang dapat dicontohi oleh anak-anak.

Matanya sedang memerhati

Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa sepasang mata atau beberapa pasang mata sedang memerhati dengan penuh tekun perangai mereka sebagai ibu bapa. Minda anak-anak pada asalnya begitu bersih dan sentiasa memerhatikan manusia di sekeliling mereka untuk dijadikan contoh. Mereka mencari-cari erti kehidupan, kebaikan, kesopanan, erti masa dan sebagainya. Dia juga ingin memahami fungsi lidah, mata, telinga, tangan dan segala anggota mereka. Rumahlah sekolah pertama dan perlakuan ibu bapalah modelnya yang paling hampir.

Sebenarnya kemampuan anak-anak ini memerhati, meneliti dan mengingati apa yang ibu bapa pernah lakukan di hadapan mereka lebih hebat daripada yang kita sangkakan. Kadang-kadang ibu bapa melihat anak-anak hanya sebagai makhluk kecil yang tidak memahami apa-apa. Hakikatnya apa yang kita lakukan di hadapannya tercetak kukuh dalam minda mereka. Mereka cukup mudah meniru apa sahaja yang dilakukan oleh ibu bapa. Contohnya, jika ibu bapa banyak menyebut nama Allah, maka anak pun akan kerap menyebutnya. Jika ibu bapa sentiasa menggunakan perkataan kasar dan kotor, maka itulah perkataan yang digunakan oleh anak-anak dalam berbicara.

Kisah Abdullah bin Abbas r.a.

Kesan contoh teladan memang amat penting dan sangat berkesan. Ia bukan sahaja mencetak pengajaran diminda, malah menggerakkan anggota manusia untuk bertindak melakukan serupa dengan apa yang dilakukan oleh orang yang dicontohi. Perlakuan ibu bapa yang rajin ke masjid atau surau, selalu solat di awal waktu, rajin menuntut ilmu dan sebagainya secara mudah akan menjadi pengajaran praktikal kepada anak-anak. Mungkin kisah Rasulullah saw dan Abdullah, yang direkodkan oleh Imam Bukhari ini boleh dijadikan pedoman.

Abdullah bin Abbas, iaitu sepupu Baginda saw menceritakan kisah ketika dia masih kanak-kanak: “Pada suatu malam, aku pernah menginap di rumah ibu saudaraku Maimunah. Rasulullah saw yang turut bersama telah bangun berqiamullail. Pada waktu itu Bagainda bangun dari tidur, kemudian berwudhuk dan seterusnya menunaikan solat. Aku pun turut serta bangun dan mengambil wudhuk seperti yang dilakukan oleh Baginda saw, dan kemudian berdiri di sebelah kiri baginda untuk menunaikan solat. Lalu Baginda memindahkan aku ke sebelah kanan dan kemudian kami mengerjakan solat malam.”

Interaksi ibu dan ayah

Selain itu, hubungan komunikasi, interaksi, kemesraan dan tingkah laku antara suami isteri juga mempengaruhi perilaku anak-anak. Jika pasangan itu kerap berkelahi, maka anak-anak akan suka bergaduh sesama sendiri. Jika isteri tidak hormat suaminya, maka anak-anak akan hilang adab kepada ayah, juga ibunya. Jika suami tidak pamerkan kasih sayang kepada isterinya, anak-anak pun akan pudar rasa cinta kepada ibu bapa dan adik beradik mereka.

Sebaliknya, jika suami isteri setia menunjukkan kemesraan, kasih dan penghormatan insya-Allah anak-anak pun akan terdorong untuk berkasih sayang dan mesra antara satu sama lain. Begitu juga interaksi ibu bapa dengan saudara-mara, tetamu dan jiran-jiran. Semuanya akan menjadi contoh kepada anak-anak dalam mereka berhubung dengan orang lain.

Kurangnya kita bermuhasabah

Kadang-kadang kegagalan kita menjadi ibu bapa yang baik ialah kerana sedikitnya kita bercermin melihat diri kita sendiri. Dalam diri kita ada seketul perasaan ego, yang menghasut bahawa kononnya kita sudah cukup baik dan sempurna. Yang buruk dan busuk pada diri kita sendiri kita tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Mungkin juga kita menganggap yang busuk pada diri kita itu sebagai suatu yang baik dan sedap dicium oleh kita sendiri. Hakikatnya, ia adalah sifat buruk yang bukan sahaja memusnahkan diri kita bahkan orang lain.

Anak-anak yang saban hari menjadi ‘penonton’ kepada kita selaku ibu bapa menjadi mangsa utama. Mereka cukup mudah terpengaruh dengan kelemahan dan kebobrokan adab pada diri kita. Tanpa kita sedar, sifat buruk diikuti oleh anak-anak. Tanpa kita perasan, sifat-sifat yang tersembunyi dalam diri kita sendiri – umpamanya sifat tamak, sifat penakut, sifat kurang jujur, sifat pemarah, sifat suka membazir – menjadi ikutan mereka.

Puncanya ialah kerana kurangnya kita melihat kelemahan sendiri. Sedangkan Islam amat menitikberatkan soal muhasabah. Rasulullah saw sendiri menggesa kita bertaubat dan beristighfar setiap hari. Apa guna istighfar jika tidak disertai dengan fikir akan dosa dan kelemahan sendiri.

Tegasnya, anak-anak adalah ibarat kain putih yang begitu mudah terpengaruh dan meniru. Ibu bapa selaku pemimpin dan pendidik tentunya menjadi contoh yang penting. Selamat mendidik anak-anak dengan contoh yang hebat dan rabbani!

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0