Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW


Sebaik sahaja Rasulullah saw sampai di Madinah pada tahun 622 Masihi, baginda telah mendirikan masyarakat Islam yang pertama. Hijrahnya Rasulullah saw serta sahabat dengan segala pengorbanan dan kesusahan adalah semata-mata kerana menyahut seruan Allah bagi meninggalkan buat sementara negeri Makkah menuju Madinah untuk  mendirikan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam menurut ajaran Allah dan Rasul-Nya

Peristiwa hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam, dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Tanpa hijrah masyarakat Islam tidak dapat dibentuk. Semata-mata mengharap, memohon tanpa usaha dan tindakan, tidak dapat berhasil cita-cita menegakkan negara Islam. Islam datang dengan menunjukkan tiga kewujudan:

1. Manusia

2. Negara

3. Peradaban

Untuk menegakkan negara Islam memerlukan tempat yang subur di mana sedia menerima benih pertumbuhan negara Islam. Di bumi Makkah masih wujud penentangan terhadap dakwah maka Rasulullah saw merancang untuk berhijrah ke tempat subur bagi memanfaatkan tenaga manusia kepada pembentukan sebuah negara.

Sebelum ke Madinah ada sahabat-sahabat yang berhijrah ke Habsyah dan Taif. Setelah Allah mengizinkan Rasulullah saw  berhijrah, Rasulullah merancang taktik hijrah dengan menggunakan segala kemampuan yang ada, pemikiran, kemahuan dan pandangan jauhnya. Inilah sebenarnya yang menjaminkan pertolongan Allah dan janji-Nya.

Saidina Ali dan Abu Bakar diberi peranan besar dalam sejarah hijrah. Ali seorang pemuda yang sanggup menggadai nyawa dengan mendedahkan diri  kepada ancaman kafir membunuhnya kerana tidur di tempat Rasulullah.

Abu Bakar menemani Rasulullah saw yang terdedah kepada pelbagai risiko. Asma’ seorang gadis yang sanggup mempertaruhkan nyawanya membawa makanan ketika Nabi dan bapanya berada di dalam gua.

Pengalaman hijrah rasul mengajar kepada kita bahawa pertolongan Allah tetap berlaku secara langsung:

1. Ketika Rasulullah keluar dari rumah.

2. Ketika Rasulullah berada di dalam Gua Thur.

3. Ketika sepanjang perjalanan Rasulullah ke Madinah.

Iman saja tidak cukup untuk menjadikan seorang hamba itu taat. Iman yang ikhlas dan jujur sahaja dapat menghasilkan sesuatu yang dapat dilihat. Firman Allah, “Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad ke jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat kediaman  dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin) mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman.Mereka memperolehi keampunan dan rezeki (nikmat-nikmat) yang mulia.” (Al-Anfal: 74)

Hijrah Sebagai Satu Pengorbanan

Hijrah sahabat-sahabat merupakan satu ujian terhadap iman, sama ada jujur atau tidak dalam mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Ada yang meletakkan Allah dan Rasul-Nya di atas segala-galanya, tetapi bagi orang munafik dan tidak ikhlas kepada Islam, maka mereka akan mencari pelbagai helah untuk melepaskan diri daripada menunaikan perintah Allah itu.

Dalam peristiwa hijrah umat Islam ke Madinah, perkara utama yang mesti wujud pada setiap diri orang-orang Islam adalah niatnya yang ikhlas kerana Allah dan Rasul-Nya

Pengajaran Dari Peristiwa Hijrah

Antara pengajaran dan iktibar yang boleh dipelajari

  • Pengorbanan kerana akidah

Sejak diutuskan menjadi rasul, Rasulullah saw menemui pelbagai ujian. Baginda didustai kaumnya sedangkan pada masa mudanya baginda dipercayai (al-amin). Apabila pendustaan melampau batas, Allah menurunkan ayat menghiburkan Nabi, “Jika mereka mendustai kamu, maka sesungguhnya rasul-rasul sebelum kamu juga didustai, mereka membawa mukjizat yang nyata, zabur dan kitab-kitab yang memberi penjelasan/petunjuk.” (Ali-Imran: 184)

Allah meminta Nabi supaya bersabar. Penyeksaan demi penyeksaan diterima oleh Nabi dan pengikut-pengikutnya yang setia. Quraisy melipat gandakan usaha-usaha penentangan supaya usia dakwah dapat dipadamkan secepat mungkin.

Oleh sebab menghadapi tekanan yang tanpa henti-henti, maka Allah mengizinkan Nabi berhijrah bersama sahabatnya ke Madinah selepas “baiah al-aqabah”. Para sahabat dengan senang hati menyahut seruan itu, mereka sedia meninggalkan tanah air, keluarga dan harta benda. Mereka rela berkorban kerana memelihara akidah yang baru menyinari hati nurani dan kerana diancam oleh kaum musyrikin. Mereka meninggalkan Makkah berjalan di padang pasir sejauh empat ratus lima puluh kilometer. Mereka sanggup menanggung kerugian dunia yang sementara ini.

Nabi sebelum berhijrah telah ditawarkan dengan kuasa, wanita dan harta tetapi baginda menolak kerana ia bukan matlamat perjuangan.

Umat Islam hari ini sangat memerlukan pengorbanan dan kesabaran seumpama itu, untuk mengembalikan mereka ke kemuncak keagungan Islam dalam menghadapi penyakit sosial dan budaya hidup yang memisahkan mereka dari ajaran Islam. Kepada mereka yang masih ketinggalan dari mengikuti arus kebangkitan Islam perlu disedarkan dan diyakinkan bahawa  hanya Islam satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah yang ditanggung umat ini.

  • Membudayakan ilmu agar terlaksana tugas amar makruf dan nahi munkar.

Setelah berhijrah ke Madinah, orang Ansar berduyun-duyun masuk Islam. Rasulullah saw telah menjadikan masjidnya sebagai pusat pendidikan yang dihadiri oleh kaum Muhajirin dan Ansar. Tidak ada daripada kalangan mereka yang menghilangkan diri dari majlis pengajian kecuali menunaikan solat fardu atau mencari rezeki bagi keperluan hidup mereka dan keluarga. Setelah Rasulullah berpuas hati dengan pencapaian mereka, baginda menghantar mereka ke merata tempat seperti Yaman, Mesir dan lain-lain dalam usaha melaksanakan tugas amar makruf dan nahi munkar.

  • Pembentukan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai keislaman.

Negara umat Islam adalah negara yang bebas melaksanakan dakwah dan kewajipan agamanya. Ini memberi makna bahawa Islam tidak cukup dengan ibadah sahaja, ia perlukan kuasa untuk melaksanakan Islam seluruhnya sebagai cara hidup

Sejarah Takwim Hijrah

Tahun hijrah berkait rapat dengan kisah penghijrahan Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah, yang menjadi era baru kerajaan Islam di bawah pemerintahan Rasulullah. Namun begitu tarikh sebenar hijrah Rasulullah itu masih menjadi tanda tanya. Ada beranggapan Rasulullah berhijrah pada 1 Muharram, maka disebabkan itu Awal Muharam disambut sebagai meraikan hari itu.

Berdasarkan pandangan ahli falak Sheikh Tahir Jalaludin, Rasulullah tiba di Quba’ pada Isnin, 9 Rabiulawal (20 September 622 Masihi). Empat hari kemudian, beginda meneruskan perjalanan ke Madinah dan memasuki Madinah pada 13 Rabiulawal (24 September 622 Masihi).

Takwim hijrah belum bermula ketika itu. Sebelum kedatangan Islam dan ketika hayat Rasulullah, mereka hanya menggunakan sistem takwim Qamari yang merujuk unit tahun kepada peristiwa besar seperti Tahun Gajah (tahun tentera bergajah Abrahah menyerang Kaabah).

Takwim Islam hanya bermula pada zaman Umar al-Khattab (khalifah Islam kedua). Semasa beliau menjadi khalifah, gabenor Abu Musa menerima sepucuk surat dari Umar yang hanya menyatakan tarikh bulan Syaaban tanpa menyebut tahun. Abu Musa membalas surat itu dan bertanya tahun yang mana satu; tahun itu atau tahun berikutnya.

Berikutan itulah Umar mencadangkan agar diwujudkan tahun dalam takwim selain tarikh dan bulan. Umar menerima cadangan menjadikan tahun Rasulullah berhijrah sebagai tahun pertama takwim Islam. Muharam jadi bulan pertama dalam takwim hijrah dan apabila dikebelakangkan dari tarikh sebenar hijrah Rasulullah ke Madinah, maka 1 Muharam jadi hari pertama tahun hijrah yang jatuh pada Jumaat 16 Julai 622 Masihi.

Hal ini bermakna tahun hijrah yang mula digunakan semasa pemerintahan Umar adalah tahun hijrah yang ke-17 selepas hijrah Rasulullah ke Madinah. Tarikh hijrah Rasulullah bukanlah pada 1 Muharam tetapi 1 Muharam ialah hari pertama dalam takwim hijrah dan tarikh hijrah Rasulullah itu tidaklah dijadikan sebagai hari pertama takwim Islam.

Bagaimana Sepatutnya Menyambut Hijrah?

Hijrah ialah berusaha untuk mengubah nasib, sikap atau keadaan kepada  yang lebih baik atau positif. Hijrah jika disertai dengan usaha, sabar dan tawakal kepada Allah, pasti akan diganjarkan kejayaan dan pahala.

Apa yang lebih bermakna di sebalik kedatangan tahun hijrah adalah penghayatan kita sendiri. Jika kedatangan 1 Januari disambut dengan pelbagai azam seperti mahu bekerja dengan lebih rajin dan bersungguh-sungguh, maka lebih afdal rasanya kita menyematkan azam yang sama sempena kedatangan tahun hijrah. Selayaknya juga bagi umat Islam lebih meraikan kedatangan tahun baru Islam berbanding tahun Masihi.

Kalau bersungguh-sungguh mahu berhijrah ke arah kebaikan, pasti kebaikan yang menanti kita. Konsep hijrah sewajarnya mendidik jiwa kita agar menjadi peribadi muslim/muslimah yang terbaik. Syaratnya hijrah kita mestilah kerana Allah, berusaha dan bertawakal kerana Allah juga.

Melakukan sesuatu kerana Allah pasti ada ganjarannya. Itu adalah  janji Allah seperti firman-Nya dalam surah al-Nahl ayat 41-42: “Dan orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang terbaik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Mereka itu ialah) orang yang sabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.”

Janji ini diberikan Allah kepada Rasulullah dan pengikutnya yang telah melalui penderitaan ditindas oleh kafir Quraisy ketika menegakkan agama Islam. Perpindahan ke Madinah adalah hijrah terbaik untuk memulakan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Namun dalam konteks kehidupan kita hari ini, hijrahnya bukan dari segi fizikal (berpindah ke tempat lain), sebaliknya hijrah sikap, hati, lidah, mental dan pemikiran ke arah yang lebih positif.

Umpamanya, jika dahulu kita malas bekerja, berubahlah pada tahun baru ini menjadi pekerja yang lebih rajin (dan niat itu haruslah kerana Allah).

Antara perubahan yang perlu dilakukan:

1. Memperbaiki akhlak yang selama ini sering menunjukkan perangai yang kurang terpuji.

2. Memperbaiki hati yang selama ini sering berprasangka buruk kepada orang lain atau iri hati

3. Memperbaiki ucapan atau kata-kata yang mungkin tidak disedari boleh menyakiti hati orang lain.

Rancanglah dengan baik apa yang hendak dicapai untuk hari depan yang lebih baik. Berkaitannya Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dilakukan untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Al-Hasyr: 18)

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0