Hukum Wanita Menyembelih Haiwan Korban

Apa hukum sembelihan korban oleh seorang wanita Muslimah.

Pada dasarnya Islam mengharuskan seseorang wanita muslimah menyembelih haiwan korban dengan syarat ia mengetahui cara-cara menyembelihnya serta berkemampuan melakukannya dengan baik.

Hukum ini berdasarkan:
1. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “…kecuali binatang yang telah kamu sembelih”.
Ayat ini ditujukan kepada para muslimin dan juga muslimah yang mukallaf. Dengan ini mereka diharuskan melaksanakan sembelihan korban.

2. Hadith Kaab ibn Malik yang bermaksud, “Bahawa seorang wanita telah menyembelih seekor kambing dengan menggunakan batu tajam. Maka ditanya kepada Rasulullah saw tentangnya. Maka Rasulullah saw mengarahkan supaya mereka memakan sembelihan itu. Diriwayatkan oleh al-Bukhari (Fath al-Bari jilid 9, ms 547-548)
Hadith ini dengan jelasnya menafsirkan maksud ayat di atas, bahawa wanita muslimah diharuskan melaksanakan sembelihan, sama seperti lelaki muslim.

3. Hadith riwayat al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak dan dihukum sahih sanadnya oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani yang bermaksud, “Bahawa Abu Musa al-Asyaari telah mengarahkan anak-anak perempuannya menyembelih sendiri korban mereka. Berkata Ibn al-Tin, dengan ini membawa maksud bahawa wanita diharuskan menyembelih korbannya. Dinukilkan daripada Imam Malik, makruh wanita menyembelih sendiri, manakala dalam mazhab as-Syafie pula, lebih baik wanita mewakilkan kepada lelaki untuk menyembelih korbannya, berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari daripada Aisyah r.a yang bermaksud, “Bahawa Rasulullah saw telah menyembelih seekor lembu korban untuk isteri-isterinya.” (Fath al-Bari jilid 10 ms 21). Begitu juga dengan hadith Jabir ibn Abdillah r.a telah menyembelih seekor lembu untuk korban para isterinya pada haji wida’.

4. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 5, yang bermaksud, “Dan makanan mereka yang diberikan kitab halal bagi kamu -yakni sembelihan mereka.” Ayat ini pula membawa maksud sembelihan ahli kitab, sama ada yang menyembelihnya lelaki mahupun wanita, daging sembelihannya halal dimakan oleh umat Islam sekalipun tukang sembelihnya berstatus kafir ahli kitab.

Kesimpulannya, wanita muslimah yang berkemampuan diharuskan menyembelih binatang korban untuk dirinya sendiri ataupun untuk orang lain. Jika dia tidak berkemampuan, dia diharuskan mewakilkannya kepada lelaki untuk melakukan sembelihan tersebut.

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0