Hukum Menggunakan Tisu Basah (Baby Wipes) Untuk Istinja’

Ustaz.

Mohon pencerahan tentang hukum menggunakan tisu basah, (wet tissue) untuk mengelap najis. Sebagai contoh  kaum ibu yang menggunakannya sewaktu menukar lampin pakai buang bayi (terutamanya sewaktu bermusafir).

Jawapan

Hakikat istinja’ adalah menghilangkan (membersihkan diri dari) sesuatu yang keluar dari kemaluan dengan menggunakan air atau batu. Pada dasarnya dalam beristinja’, penggunaan air dan batu merupakan sebuah rukhshah (keringanan) untuk setiap ummat Nabi Muhammad saw.  Penggunaan kedua-dua medium tersebut adalah lebih afdhal dengan mendahulukan penggunaan batu diikuti oleh air.

Walau bagaimanapun, apabila orang yang istinja’ menghendaki menggunakan salah satu daripada keduanya, maka yang afdhal ialah menggunakan air.

Apabila menggunakan medium selain air, maka disyaratkan harus padat (bukan cair), sifat boleh menghilangkan dan mengeringkan kotoran, kasar (tidak licin), tidak terhormat, serta tidak basah atau lembab. Oleh yang demikian, meskipun menggunakan batu tetapi basah/lembab maka menurut pendapat yang sahih tidak mencukupi.

Beristinja’ menggunakan tisu basah jelas  menurut pandangan ini tidak mencukupi sebagai alat istinja’ (mustanja bih) kerana tidak memenuhi syarat (kering) sebagaimana yang telah diketahui.

Namun, dalam keadaan darurat (sekiranya dalam keadaan ketiadaan tisu kering), ia dimaafkan dengan syarat hilang ain serta 3 sifat iaitu rasa, bau dan warna.

(Kemusykilan dijawab oleh Ustaz Mohd. Zamri bin Abd. Halim, Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan)

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0