Cara jual beli emas lama dan baru.

Soalan

Jika ke kedai emas untuk menukar barang emas yang lama, bolehkah harga emas yang baru ditolak daripada nilaian yang dibuat pada emas lama yang kita tukar?  Atau kita kena terima dahulu duit emas yang ditukar, kemudian barulah dibuat pembayaran emas yang baharu dibeli.

Jawapan

Seseorang yang ingin menukar barang kemas lama dengan barang kemas baru emas. Ia mesti punyai dua syarat tanpa khilaf:

i) Mutamathilan – mesti sama berat timbangannya.

ii) Mesti ‘Taqabud fil hal aw fil majlis’ (diserah dan terima dalam satu masa) – kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasiah akan berlaku.

Seseorang yang ingin menukar beli atau trade in emas, perlu menjual terlebih dahulu kepada pekedai emas, dan mengambil duit harga emas yang dijual.

Sebagai contoh, seutas rantai lama kita berharga RM2000 dan beratnya 200 gram, apabila kita ingin menukar beli dengan rantai berharga RM2500,  maka kita mesti jual dahulu, dan pegang duit RM2000.  Kemudian barulah kita pilih rantai baru dan membuat pembayaran kepada pekedai dengan tambahan RM500.

(Jawapan dikemukakan oleh al-fadhil Ustaz Mohd. Zamri b. Abd Halim, imam kanan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur)

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0