Letakkan cinta di tempat yang betul

Assalamualaikum wrth.

Pembaca yang dikasihi,

Cinta merupakan perasaan unik yang dianugerahkan Allah kepada makhluk-Nya. Perasaan cinta mampu menjadikan manusia gagah perkasa dan kuat menangani apa jua cabaran demi orang yang dicintainya. Namun cinta juga akan melemahkan insan, jika silap ditadbir dan tidak mengikut landasan agama.

Hari ini jika menyebut cinta, maka cinta berlawanan jantina sering menduduki carta teratas. Begitu juga cinta kepada material, sering menjadi perkara utama dalam kehidupan. Kesilapan meletakkan keutamaan cinta ini telah mengundang banyak kemudaratan.

Dek kerana cinta berlandaskan nafsu inilah bilangan anak zina semakin memuncak statistiknya. Sangat mengerikan angkanya. Dek cintakan material maka kita melihat kegelojahan manusia berebut jawatan, gelojoh mentadbir sehingga menindas orang lain.

Begitulah apabila cinta telah lari dari paksinya. Sedangkan Islam mengajar keutamaan cinta itu adalah kepada Pencipta, Allah azza wajalla. Sesiapa yang berjaya meraih cinta Allah, maka tidak ada lagi yang diperlukannya dalam hidupnya. Sementelah dunia hanyalah perhiasan dan tipu daya semata-mata

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya ?“ (Surah Al An’am : 32)

Semoga kita meletakkan cinta di tempat yang betul dan sentiasa dipayungi rahmat-Nya

Suka dengan artikel ini? Kongsi bersama rakan-rakan
0